Suspek tembakan jual motor untuk beli pistol

Suspek tembakan jual motor untuk beli pistol

Pekerja warga asing di kilang memproses ayam itu berkata, suspek sering menayang senjatanya serta membenarkan mereka bergambar dengan pistolnya.

 

tembak_polis_penang_6001

PETALING JAYA:
Niat ibu membeli motosikal untuk kemudahan anaknya, tetapi suspek bertindak menjual kenderaan itu untuk membeli pistol.

Demikian kata pemuda berusia 18 tahun yang merupakan cucu Tan Saw Sim yang ditembak mati bersama tiga ahli keluarganya oleh anak lelaki mangsa di sebuah kilang memproses ayam di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas, hari ini.

Pemuda itu yang dipetik China Press dan Oriental Daily memberitahu, neneknya membeli sebuah motosikal untuk kegunaan bapa saudaranya, bagaimanapun suspek berusia 32 tahun itu bertindak menjualnya dan membeli sepucuk pistol di pasaran gelap.

Menurutnya, adik suspek, Chung Wah Thong yang turut maut dalam kejadian itu pernah memberi amaran kepada abangnya supaya tidak menagih dadah lagi atau beliau akan membuat laporan polis.

Beliau berkata, polis pernah mencari suspek di kilang terbabit, selepas teman wanita suspek yang ditahan kerana kes dadah memberitahu polis alamat rumah suspek.

“Polis pernah mencari bapa saudara saya di kilang sembelih ayam dan itik di Jalan Baru, Batu Maung untuk membawanya ke balai polis, tetapi dia berjaya melarikan diri.

“Tak sangka dia balik ke kilang untuk mencari nenek sekeluarga pagi ini dan membunuh keluarga sendiri,” katanya.

Jelasnya, suspek seorang yang panas baran tetapi tidak pernah bertindak kasar dan neneknya kadangkala akan memarahi suspek.

Selain itu, katanya, suspek kadangkala akan tinggal bersama keluarganya di kilang berkenaan.

Sementara itu, pekerja warga asing di kilang memproses ayam itu berkata, suspek sering menayang senjatanya serta membenarkan mereka bergambar dengan pistolnya.

Selain Saw Sim, 55 dan anaknya, Wah Thong, cucu mangsa berusia 2 tahun, Chung Ay Dey dan teman lelaki mangsa berusia 50 tahun, Toh Hock Choon yang merupakan pemilik kilang itu turut maut dalam kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razaruddin Hussain dilaporkan berkata, kejadian pada 2.55 pagi itu dipercayai bermotifkan wang dan semua mangsa ditembak menggunakan pistol semi automatik yang dipercayai diperoleh secara haram.

Polis masih memburu suspek, Chung Chun Wah, 32, yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang dan memiliki sepucuk pistol semi automatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.