Safiq, Aidil Zafuan bersara daripada Harimau Malaysia

Safiq, Aidil Zafuan bersara daripada Harimau Malaysia

Mereka mengambil keputusan itu untuk memberi laluan kepada pemain muda.

aidil-safiq-skuad-harimau-malaysia

PETALING JAYA:
Ketua Pasukan Harimau Malaysia, Safiq Rahim dan rakan sepasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengumumkan persaraan daripada skuad bola sepak kebangsaan.

Penyerang dan pemain pertahanan itu dalam pengumuman berasingan yang dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tigers hari ini memberi alasan sama untuk memberi laluan kepada pemain muda.

“Sudah tiba masanya untuk saya bersara daripada skuad kebangsaan dan memberi peluang kepada pemain lain untuk menggalas tugasan saya.

“Pencapaian-pencapaian yang pernah saya raih seperti membantu skuad kebangsaan Bawah 23 tahun memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009 dan juara Piala Suzuki AFF 2010 untuk skuad senior pastinya mampu menjadi pemangkin kepada pemain generasi baru untuk memberikan keputusan dan idea yang lebih positif buat skuad negara,” kata Safiq.

Kedua-dua tonggak skuad kebangsaan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong bola sepak tanah air, barisan kejurulatihan serta pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong mereka sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan.

Menurut dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, mereka cukup berbesar hati dapat membantu Harimau Malaysia mencapai beberapa kejayaan termasuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009.

Safiq, 29, mula mewakili skuad negara Bawah 20 tahun di Piala Belia Asia, India pada 2006, manakala Aidil Zafuan yang menginjak usia 28 tahun pula membuat 68 penampilan bersama skuad negara sejak Julai 2007.

Kali terakhir Aidil Zafuan beraksi bersama skuad kebangsaan dan turut menggalas tanggungjawab kapten pasukan ialah 26 Jun lalu.

Ketika itu, Harimau Malaysia seri 1-1 dengan pasukan di ranking ke-186 dunia, Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tigers berang dengan kecederaan lima pemain JDT selepas pulang daripada beraksi dengan skuad kebangsaan di Fiji.

Menurutnya, kecederaan itu bukannya disebabkan terlebih latihan sebaliknya akibat kekurangan latihan sewaktu di kem pasukan kebangsaan.

“Laporan yang saya terima daripada pemain dan jurulatih kecergasan pasukan kami, sepanjang 30 hari pemain bersama skuad kebangsaan, hanya 11-12 hari mereka menjalani sesi latihan.

“Dan pada 19-29 Jun cuma hanya ada 4 hari sesi latihan sahaja berbanding dengan JDT yang menjalani sesi latihan sebanyak 19 kali pada tarikh sama. Itulah sebabnya pemain mengalami kecederaan.

“Jika kecederaan pemain ketika beraksi dan berlaku kekasaran ke atas pemain saya boleh terima, tetapi jika kecederaan ini disebabkan kekurangan latihan, saya tidak boleh bertoleransi mengenainya.

“Ini terjadi kerana pasukan kebangsaan tidak mengikut momentum dan tidak menjalani ‘high intensity’ kecergasan yang sepatutnya. Apabila saya bersuara, mula semua melatah,” katanya.

Malah, Tunku Ismail turut mendakwa amalan rasuah merupakan budaya dalam FAM.

“Saya bertanya dengan ikhlas kepada anda semua yang berada di dalam organisasi pasukan kebangsaan iaitu anda berada di organisasi ini hanya untuk makan gaji sahaja atau masing-masing ada matlamat tertentu atau sekadar mahu menjaga poket sendiri?

“Masalah organisasi ini adalah terlalu ramai ahli perniagaan berbandingjurulatih dan orang-orang bola sepak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.