Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata, bas itu juga dikesan mempunyai sembilan saman membabitkan kesalahan memandu di lorong kanan secara perlahan.
“Selain itu, bas berkenaan juga mempunyai dua saman tidak mengawal kenderaan ketika memandu (mengakibatkan kemalangan), dua saman gagal menunjukkan lesen memandu dan satu saman memotong di kawasan larangan memotong.
“Semua saman tertunggak berkenaan dari 2011 hingga sekarang,” katanya selepas Op Selamat 9/2016 di Kilometer 29 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini.
Dalam kemalangan pada petang Ahad itu, bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur melanggar 10 kenderaan lain semasa menuruni bukit di lokasi kejadian.
Antara kenderaan terbabit adalah kereta Proton Persona, Perodua Myvi, Toyota Unser, Proton Saga, Proton Satria dan Suzuki Alto.
Komander Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, ASP Hazil Reza Mohd Ghazali dilaporkan sebagai berkata, kemalangan pada jam 2.45 petang Ahad lalu itu berpunca daripada kegagalan brek bas terbabit.
Bagaimanapun, kesemua 28 penumpang dan pemandu bas itu dilaporkan selamat, selain tiada kecederaan serius dialami pemandu atau penumpang kenderaan lain.
Pautan berita:
