‘Jangan hukum keluarga atas kesalahan peneroka’

‘Jangan hukum keluarga atas kesalahan peneroka’

Tindakan itu tidak wajar memandangkan ia sama dengan menafikan hak ahli keluarga peneroka disyaki terbabit kegiatan IS yang sepatutnya layak mendapat rumah tersebut.

felda-isis

PETALING JAYA:
“Memadailah mereka dihukum di bawah undang-undang negara, tidak perlu dihukum lagi sekali oleh Felda. Kita perlu bezakan kesalahan warga dan hak mereka sebagai rakyat.”

Demikian kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman sebagai mengulas amaran Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad semalam yang tindakan tegas akan diambil terhadap peneroka terbabit kegiatan IS, termasuk menolak permohonan generasi kedua mendapatkan rumah di bawah skim Felda.

Mazlan menegaskan, tindakan itu tidak wajar memandangkan ia sama dengan menafikan hak ahli keluarga peneroka disyaki terbabit kegiatan IS yang sepatutnya layak mendapat rumah tersebut.

“Jika kenyataan Isa itu merujuk kepada Projek Rumah Generasi Baru, program itu untuk generasi kedua yang lazimnya sudah berkeluarga. Maka kenyataan Isa itu tidak wajar dan janggal kerana menafikan hak mereka dan keluarga,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mendakwa isu seperti ini menjadi kontroversi di kalangan warga Felda sebelum ini, apabila peneroka yang didapati bersalah dalam kes jenayah disingkirkan daripada Felda bersama keluarga mereka.

“Sejumlah waris mencabar keputusan Felda itu di mahkamah. Tentulah tidak adil apabila keluarga turut terhukum atas kesalahan peneroka,” katanya.

Pada Mei 2002, Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi ketika itu, Dr Robia Kosai dilaporkan sebagai berkata, peneroka yang disingkirkan boleh membuat rayuan supaya hak mereka dipindah milik kepada isteri dan kementerian akan menggunakan budi bicara untuk memberikan hak milik lot ladang kepada isteri beranak ramai.

Mazlan turut membidas Isa dengan mendakwa beliau membuat kenyataan itu semata-mata mahu menunjukkan Felda turut mengambil berat terhadap isu IS.

“Kita faham kalau (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Zahid Hamidi bercakap tentang IS. Tetapi Isa lebih baik fokus sahaja kepada program rumah untuk generasi kedua ini yang dijanjikannya sendiri pada PRU ke-13 dahulu yang sehingga sekarang penuh masalah.

“Setakat ini, projek ini hanya dijalankan lebih kurang 20 daripada 317 tanah rancangan Felda, memang tidak mencukupi. Itu belum masuk pembinaan yang terbengkalai walaupun peneroka sudah mengeluarkan duit mereka,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.