Pelarian lanjut pelajaran ke universiti, terima kasih Sekolah Fugee

Pelarian lanjut pelajaran ke universiti, terima kasih Sekolah Fugee

Dua anak pelarian itu sebelum ini tidak mendapat pendidikan formal.

deborah

KUALA LUMPUR:
Usaha dan dedikasi Sekolah Fugee akhirnya membuahkan hasil apabila dua pelarian yang berlindung di negara ini diberi peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham Malaysia.

Pengasas bersama sekolah untuk anak pelarian itu, Deborah Henry berkata, kedua-dua pelajar itu menyertai kursus asas di bawah program khas universiti swasta di Semenyih, Selangor.

“Jika mereka tidak diberikan peluang, mereka tidak akan berada di tempat itu sekarang. Di Sekolah Fugee, kami mengiktiraf setiap pelajar mempunyai potensi besar.

“Kini, dua anak muda itu yang tidak pernah mendapat pendidikan formal diterima masuk kursus asas di Universiti Nottingham.

“Ini satu keajaiban yang memberi harapan kepada orang lain yang mereka juga boleh mencapainya,” kata bekas ratu cantik itu.

Pengarah Urusan Sekolah Fugee Jessica Chapman pula berkata pendidikan sekolah itu menekankan tema kelestarian dan teknologi.

Pelajar sekolah rendah menggunakan sukatan pelajaran Singapura manakala pelajar peringkat menengah pula mempelajari kemahiran berasaskan teknologi melalui komputer mini Raspberry Pi.

“Jadi, ia menjimatkan juga. Pelajar belajar cara pengekodan menggunakan komputer mini Raspberry Pi.

“Ia adalah program berdasarkan reka bentuk sistem dan pemikiran mampan. Saya anggap ini sebagai pembangunan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Berbekalkan kemahiran pengekodan itu, mereka boleh mendapat pekerjaan di mana sahaja mereka berada.

“Di Jerman, ada sebuah sekolah mengajar cara pengekodan kerana ia satu cara baik untuk pelarian mendapat kerja. Ia berkesan di Syria juga.

“Ia cara ekonomi untuk menawarkan pendidikan kepada sesebuah populasi yang serba kekurangan,” katanya sambil menambah sekolah itu membeli komputer mini berharga AS$25 (RM100) itu menggunakan sumbangan orang ramai.

Mengimbau pengalamannya berkhidmat untuk Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), Deborah berkata, beliau julung kali menemui sebuah keluarga di bandar ini ketika itu.

“Saya pergi ke pangsapuri mereka dan nampak empat kanak-kanak. Mereka tidak boleh bertutur, membaca mahupun menulis.

“Saya ingat lagi semasa keluar dari pangsapuri itu dan saya beritahu diri, saya tidak boleh sekadar memberi RM50 dan buat tidak tahu.

“Saya perlu buat sesuatu mengenainya,” katanya sambil menambah ketika itulah beliau berikrar untuk membantu pelarian mengikut kemampuannya.

Beliau mula memberi tusyen kepada kanak-kanak pelarian pada 2008 dan setahun kemudian, beliau bersama seorang rakannya menubuhkan Sekolah Fugee.

“Dengan berbekalkan sedikit dana, kami menyewa sebuah pangsapuri dan mempunyai kira-kira 60 pelajar serta dua guru.

“Sepanjang perjalanan ini, kami melakukan banyak kesilapan. Jadi, kami benar-benar belajar daripada kesilapan sepanjang masa itu.

“Kami membuat bermacam-macam penambahbaikan selepas tahu jenis pendidikan yang kami mahu berikan kepada pelarian,” katanya.

Dan cabaran juga tidak kurangnya.

“Pergelutan mengendalikan sebuah NGO adalah untuk mendapatkan dana atau untuk sekolah terus beroperasi dan mempunyai visi kukuh terhadap apa yang anda mahu lakukan.

“Kami berhasrat mendidik setiap anak-anak mempercayai diri sendiri yang mereka boleh menjadi apa sahaja yang mereka mahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.