Milton Foo diselar selepas ajak menteri letak jawatan

Milton Foo diselar selepas ajak menteri letak jawatan

Foo berkata Wong perlu meletak jawatan kerana memilih untuk kekal dengan UPP, parti yang bukan komponen tetapi mesra-BN.

karin-milton-foo

PETALING JAYA:
Ketua Pemuda SUPP, Milton Foo diselar selepas meminta Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Wong Soon Koh meletakkan jawatannya.

Menurut laporan Borneo Post Online, Ahli Majlis Tertinggi PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah menyelar Foo yang tewas kepada pembangkang pada pilihan raya negeri pada bulan Mei lepas di Pending, manakala Wong pula berjaya mengekalkan kerusi Bawang Assan untuk Barisan Nasional.

“Saya tidak pasti jika Foo berada dalam kedudukan untuk mengulas mengenai perkara ini. Apapun yang diungkapkan oleh Milton, saya rasa suara rakyat lebih penting di sini,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya beliau.

Timbalan Menteri Negeri untuk perumahan itu mengulas kenyataan Foo semalam yang berkata Wong perlu meletak jawatan kerana memilih untuk kekal dengan UPP, parti yang bukan komponen tetapi mesra-BN.

Sebelum pilihan raya, Wong menjadi presiden UPP, sebuah parti serpihan SUPP dan sebagai calon langsung BN dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, dia dikehendaki untuk berhenti dari partinya.

Foo juga berkata, tindakan Wong yang kembali kepada UPP menunjukkan beliau tidak mempunyai niat untuk menghormati aku janjinya kepada BN dan oleh itu perlu meletakkan jawatan menterinya.

Sewaktu pilihan raya negeri yang lalu, Foo mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mengkritik Ketua Menteri Adenan Satem dalam proses pemilihan calon namun segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf.

Karim juga berharap supaya pemimpin SUPP dan UPP menyelesaikan konflik antara mereka secara tertutup dan bukannya mengambil ia kepada pihak media.

“Samalah seperti suami dan isteri yang bertengkar, mereka perlu mencari jalan untuk membina semula hubungan. Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi demi rakyat Sarawak,” katanya sambil menambah beliau ingin melihat pemimpin-pemimpin kedua-dua parti menjadi dekat sekali lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.