Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata, Eaglexpress masih berdiam diri dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan atau kertas hitam putih berhubung status pekerja mereka.
“Eaglexpress mengeluarkan memo kepada semua pekerja menyatakan tunggakan gaji dua bulan akan dibayar pada 27 Jun. Tetapi bila syarikat gagal berbuat demikian, kenapa tidak maklumkan kepada pekerja?
“Tunggakan gaji bagaimanapun dibayar selepas itu sehingga Jumaat. Tetapi syarikat diam sahaja, kenapa tidak dibuat penjelasan tentang kelewatan itu.
“Takkan pekerja kena periksa akaun bank banyak kali, setiap hari. Itu baru pasal tunggakan gaji dua bulan, belum lagi pasal gaji bulan Jun yang masih belum dapat,” katanya seperti yang diterik daripada mStar Online.
Lebih buruk, turut dipersoalkan jikalau Eaglexpress sememangnya belum bayar gaji bulan Jun seperti yang didakwa atau berlaku pemotongan sehingga wujud perbezaan ketara dalam wang yang diterima pekerjanya.
“Kita perlukan penjelasan atas semua ini,” tegas Ismail.
Dalam laporan yang sama, turut dipetik kenyataan seorang ahli lembaga pengarah Eaglexpress yang akui semua isu itu akan terjawab dalam masa terdekat.
Beliau yang enggan dikenali memberitahu pekerja boleh memohon penyata gaji bulanan masing-masing bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Kita tak boleh jawab setiap dakwaan pekerja. Lagipun ada antara mereka telah mendapat sebahagian bayaran sebagai pendahuluan sebelum ini.
“Kita akan jawab kesemuanya minggu depan, tunggu Isnin,” katanya kepada portal berita tersebut.
Pada 23 Jun lalu, Eaglexpress mengeluarkan memo berkaitan dua bulan gaji yang tertunggak iaitu April dan Mei akan dibayar pada 27 Jun namun tiada bayaran yang dilakukan sehingga Jumaat lalu.
Ahli lembaga pengarah itu bagaimanapun enggan mengulas dakwaan bahawa syarikat itu hanya melunaskan tunggakan gaji selama sebulan setengah berbanding dua bulan gaji seperti yang dijanjikan pihak pengurusan.
Bulan lepas, isu Eaglexpress tidak membayar gaji pekerja termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso didedahkan oleh portal yang sama.
Ekoran itu, Eaglexpress tampil membuat kenyataan pihaknya berada dalam masalah kewangan dan berjanji akan melangsaikan segala bayaran kepada pekerjanya.
