Kafir harbi istilah lapuk, kata kumpulan profesional Islam

Kafir harbi istilah lapuk, kata kumpulan profesional Islam

Hanya kumpulan seperti al-Qaeda, IS dan Boko Haram tidak mengiktiraf pendapat sedemikian.

MPF

KUALA LUMPUR:
Sebuah kumpulan profesional Islam hari ini membidas penggunaan label “kafir” terhadap rakyat bukan Islam, dengan berkata ia istilah lapuk di zaman moden kecuali oleh kumpulan pengganas seperti IS dan Boko Haram.

“Ramai sarjana semasa Islam, seperti Syaikh Muhammad Abu Zahrah, Syaikh Abdullah Bayyah, Yusuf Qaradawi, Syeikh Wahbah al-Zuhayli, Dr Fahmi Huwaidi dan Dr Muhammad Emarah Syakh berpendapat kategori kafir harbi dan kafir dhimmi tidak lagi relevan dan terpakai dalam kerangka sosio-politik zaman moden hari ini,” kata Forum Profesional Islam (MPF).

MPF, diketuai pakar kardiologi pediatrik di Institut Jantung Negara, Datuk Dr Mazeni Alwi, merupakan gabungan profesional dari pelbagai bidang yang ditubuhkan pada 1980-an.

Mufti Pahang baru-baru ini mempertahankan label “kafir harbi” (golongan bukan Islam yang berperang dengan umat Islam) terhadap sesiapa yang menentang rang undang-undang bagi memperkasakan enakmen Syariah seperti dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei lalu.

Meskipun beliau dikritik hebat, Datuk Seri Abdul Rahman Osman bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya, dan menganggap saranan beliau merupakan fatwa walaupun tidak diwartakan.

MPF berkata sarjana menganggap warga bukan Islam dalam konteks negara Islam moden sebagai “muwatin”, iaitu rakyat yang mempunyai hak sama rata seperti warga Islam.

Bagaimanapun, katanya, hanya kumpulan seperti al-Qaeda, IS dan Boko Haram tidak mengiktiraf pendapat sedemikian.

MPF melahirkan kekesalan atas kegagalan beberapa pihak dalam memahami kesamaan di hadapan Pencipta, ditambah dengan pemahaman sempit tentang pertalian sesama insan, yang bukan sahaja menjadikan agama Islam kini disamakan dengan perkauman malah mencemar imej Rasulullah.

“Kewujudan bersama secara aman dan perpaduan harmoni dengan penganut agama lain jelas tercatat dalam sejarah Islam dari awal dakwah Rasulullah, dan ia diserlahkan melalui salah satu dokumen politik teragung dalam sejarah manusia, Sahifah al-Madinah, atau Perlembagaan Madinah (622 M),” kata MPF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.