Pasar raya milik jutawan India dibuka di Malaysia

Pasar raya milik jutawan India dibuka di Malaysia

Pasar raya Lulu di kawasan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung minggu lalu.

lulu-hypermarket

KUALA LUMPUR:
Lulu Group, salah satu rangkaian pasar raya terbesar di Timur Tengah, membuka pasar raya besarnya yang pertama di Malaysia sebagai sebahagian rancangannya untuk melahur AS$300 juta di negara Asia Tenggara.

Pasar raya seluas 250,000 kaki persegi itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Duta Besar UAE dan Pesuruhjaya Tinggi India T S Tirumurti.

Pasar raya besar baru itu dijangka menarik perhatian ramai daripada pelbagai latar belakang dengan menyediakan tiga tingkat bangunan beli-belah menggabungkan barangan runcit hingga fesyen, barangan kelengkapan rumah serta barangan elektronik terkini.

Kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk melabur AS$300 juta sebagai sebahagian daripada hasratnya untuk membuka 10 pasar raya besar dalam tempoh lima tahun di negara ini.

“Kami gembira menyambut jenama Lulu ke Malaysia kerana ia akan membuka laluan kepada lebih banyak jenama antarabangsa masuk dan melabur di Malaysia.

“Saya juga berharap Lulu akan membuka lebih banyak pasar raya besar dan pusat beli-belah bukan saja di Kuala Lumpur tetapi di negeri lain di Malaysia,” kata Najib.

Pengerusi Lulu Group Yusuff Ali MA yang juga ahli perniagaan dari Kerala berkata dengan jumlah pelaburan awal AS$300 juta bagi fasa pertama, syarikat itu merancang membuka 10 pasar raya besar menjelang akhir 2021 lengkap dengan pusat logistik dan kemudahan gudang di Malaysia.

“Projek ini akan membuka lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Kami juga merancang menubuhkan perladangan kontrak bagi memastikan bekalan produk berkualiti tinggi yang berterusan serta menyokong sektor pertanian Malaysia,” katanya.

Selain 10 pasar raya besar yang sudah dirancang, Ali turut mengumumkan rancangan kumpulan itu untuk melabur AS$500 juta lagi untuk membina pusat beli-belah terbesar di Malaysia.

Lulu Group pada masa ini mengendalikan 126 gedung merentasi Majlis Kerjasama teluk – Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE selain di Mesir, India dan Indonesia.

Disenaraikan oleh Deloitte sebagai salah satu daripada 10 peruncit paling cepat berkembang di dunia, Lulu Group mempunyai lebih 38,000 pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.