Macam mana rasanya kalau pelakon superstar datang ke Malaysia lagi?
Pasti kegilaan yang melanda peminat pelakon nombor satu India dan Asia beberapa bulan lalu akan kembali merebak, bukankah begitu? Sabar, kita semua berharap supaya ‘Kabali’ turun Malaysia, kerana kedatangan beliau itu sendiri sudah cukup untuk membangkitkan aura keterujaan kebanyakan peminatnya.
Rajinikanth dijangka melawat Malaysia semula, mungkin pelawaan pengedar filem Malik Streams Corporation Sdn Bhd ke sesi tayangan perdana filem Kabali berbahasa Melayu yang akan disiarkan pada 21 Julai nanti akan dilayan heronya itu.
“Kami sudah menghantar surat jemputan rasmi dan menghubungi beliau untuk hadir pada 21 Julai, ke tayangan perdana filem Kabali dalam Bahasa Malaysia. Ini kali pertama filem Tamil, lebih-lebih lagi filem Rajinikanth dialih bahasa, jadi kami amat mengharapkan beliau bersama kita pada hari itu,” demikian kata penerbit bersama dan pemilik Malik Stream Corporation, Datuk Abdul Malik Dashtigeer.
Filem Kabali yang dialih bahasa ke Bahasa Malaysia akan ditayangkan di seluruh negara bermula 22 Julai dan Malik menjangka ia bakal mewujudkan satu fenomena luar biasa dalam kalangan penonton dan peminat Malaysia.
“Kami percaya Kabali yang dialih bahasa ini akan mengundang lebih banyak sambutan daripada peminat. Saya percaya penonton India juga akan berminat menonton versi Melayu selain penonton bukan India,” jelas Malik lagi.
Filem asal, yang bahasa Tamil yang sudah siap pembikinan diuar-uarkan akan ditayangkan pada Julai, mungkin awal atau pertengahan bulan, namun tarikh sebenar masih belum didedahkan.
Peluang berjumpa Kabali
Adakah peminat akan diberikan peluang berjumpa dengan ‘superstar’ jika beliau kembali?
“Kita akan usahakan sebaik mungkin. Kalau beliau bersetuju, semuanya boleh. Lazimnya tiada masalah,” tambah Malik yang kini sangat sibuk dengan pelbagai kerja promosi untuk filem itu.
Rajinikanth sebelum ini berada di Malaysia selama kira-kira 60 hari bagi penggambaran filem tersebut yang kebanyakannya dirakam di sini. Sepanjang keberadaannya, beliau dikatakan menemui beribu peminat dan mengambil gambar bersama mereka.
Walaupun beliau hero pujaan ramai, Rajinikanth dikatakan tidak pernah menolak permintaan peminatnya termasuk VIP yang terdiri daripada ahli korporat dan ahli politik yang menunggu senarai panjang menemui beliau.
RM2 juta untuk promosi
Kira-kira RM2 juta ringgit diagih untuk kerja promosi, termasuk siri jelajah Kabali; acara sukan larian ‘Kabali Run’, promosi jalanan menggunakan kereta mewah yang diubah suai dengan tema Kabali, papan billboard besar yang akan dipacak di tujuh lokasi seperti Bangsar, Nilai, Selayang, Lebuhraya PLUS dekat Sungai Buloh dan sebagainya.
Tidak ketinggalan Kabali juga menerima tawaran menjadi rakan kongsi beberapa nama besar syarikat korporat seperti Airasia, Hotlink dan stesen radio swasta sekali gus menjadikan filem ini, filem Tamil paling banyak menerima rakan kongsi dan paling tinggi kosnya untuk promosi.
Airasia selaku rakan penerbangan rasmi menawarkan menu dalam penerbangan dan barangan cenderamata yang disesuaikan dengan tema filem itu. Bukan itu saja, Airasia juga mengumumkan promosi eksklusif ‘Fly like a Superstar’ dengan tambang dari serendah RM169 sehala ke semua destinasi di India dari Kuala Lumpur bermula Isnin, 27 Jun 2016 hingga 3 Julai 2016 bagi tempoh perjalanan dari 28 Jun sehingga 24 November 2016.
Kini, semua sudah tersedia, dan peminat serta penonton hanya tunggu untuk filem tersebut ditayangkan. Malik berkata sebanyak 480 pawagam ditempah untuk tayangan hari pertama filem Kabali Tamil dan angka ini dijangka kekal sekurang-kurangnya tiga hari.
“Ini tidak termasuk kira-kira 300 dewan tayangan yang ditempah secara peribadi oleh syarikat, orang perseorangan, persatuan dan sebagainya,” tambah Malik.
Kabali yang merupakan filem ke-159, arahan P Ranjith mengisahkan kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di India dan Malaysia.
Untuk Kabali versi bahasa Melayu, selebriti tanah air Arun Kumar memberi suaranya untuk watak Rajinikanth dan Fathia Latiff bagi watak Dhansika, anak Rajinikanth.
Turut melakukan alih suara ialah Datuk Jalaluddin Hassan bagi watak penjahat dan beliau dibawa ke Chennai, India selama tujuh hari untuk rakaman suara. Dua lagu (Ulagam dan Nerupuda) juga kini menjalani proses pembikinan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan muzik ‘minus one’ asli.
Turut membintangi filem itu yang memainkan watak utama ialah Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim.
Kini, kita tunggu saja filem superstar itu ditayangkan dengan rencah Malaysia!