Menurut Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Lim Guan Eng ditahan dibawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dipercayai berkaitan tanah pertanian dan pembelian banglo di Jalan Pinhorn.
Guan Eng akan dibawa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang esok.
“Seksyen 23 Akta SPRM kerana mengizinkan permohonan zon semula tanah milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblen dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli hartanah bawah nilai pasaran,” jelas Kon Yeow.
Exco Dr Afif Bahardin berkata Guan Eng kini dibawa ke ibu pejabat SPRM di Jalan Northam. Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dipercayai akan mengadakan vigil di situ pada jam 8.30 malam ini.
Dalam kejadian petang tadi, sekumpulan 12 anggota SPRM dilihat memasuki bangunan Komtar dari pelbagai arah seolah-olah mercu tanda itu sedang dikepung.
Sebaik tiba di tingkat 28, enam anggota SPRM masuk ke bilik mesyuarat Exco diikuti empat anggota lain tidak lama kemudian.
Peguam Sanisvara Nethaji Rayer dan adiknya, Lim Hui Ying tiba di pejabat Guan Eng tidak lama kemudian. Kerisauan tampak jelas di wajah ahli keluarganya itu.
Exco Phee Boon Poh, Lim Hock Seng dan Law Heng Kiang menitiskan air mata ketika Guan Eng diiring keluar oleh anggota SPRM.