Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata parti baru tidak akan dapat bertahan tanpa persefahaman dengan parti lain kerana pertembungan beberapa penjuru hanya akan memecahkan undi.
“Dalam konteks tersebut, mana-mana parti baru pembangkang akan alami kepayahan mendapat kerusi untuk meletakkan satu calon menyaingi Barisan Nasional.
“Jadi pembentukan parti baru tanpa persefahaman dengan parti lain akan memecah undi dan memastikan kekalahan,” kata Ibrahim kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang berkata beliau dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih mempertimbangkan platform politik mereka susulan pemecatan dari Umno minggu lalu.
Ibrahim berkata, sistem politik “first past the post” seperti diamalkan di negara ini memerlukan kerjasama antara parti sebelum pilihan raya.
“Setiap parti perlu menyertai pakatan sebelum pilihanraya bagi membolehkan mereka menampilkan satu calon bertanding dengan pakatan atau gabungan lain,” katanya.
Menurut pemerhati politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, sudah terlalu banyak parti politik Melayu ketika ini.
“Datuk Zaid Ibrahim yang tubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) juga diam, Tan Sri Sheikh Kadir Fadzir yang tubuhkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan buat gerakan ketiga dengan PAS, tetapi tidak ke mana-mana,” katanya.
Berehat seketika
Tambahnya, perkara terbaik yang boleh dilakukan Muhyiddin dan Mukhriz ialah berehat seketika daripada kancah politik.
“Kalau rasa kecewa, buat masa ini diamkan diri dahulu. Kalau rasa darah politik masih kuat, tidak mahu merayu dan diam, sertailah parti lain,” ujarnya.
Agus merasakan parti pembangkang yang ada ketika ini sesuai sebagai wadah perjuangan Muhyiddin memandangkan isu dalaman parti masih belum sesuai.
Sebaliknya, pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Atory Hussain mengalu-alukan penubuhan parti baru.
“Tapi dengan syarat semua institusi pemerintahan negara direformasikan terlebih dahulu agar lebih adil, terbuka, berintegriti, jauh dpd sikap pembohongan dan penipuan,” katanya.
“Jika institusi-institusi tak dirombak, pada hemat saya tak usah buat parti baru, akan buang masa dan mengabihkan boreh saja. Letih aje.”
