Kabinet: Sarawak beri laluan kepada Selangor

Kabinet: Sarawak beri laluan kepada Selangor

Sarawak masih punyai suara yang besar di peringkat Persekutuan, kata Abang Johari

johari-selangor-sarawak

PETALING JAYA:
Sarawak memberi laluan kepada Selangor untuk mengisi jawatan dalam Jemaah Menteri atas semangat tolak ansur, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata demikian mengulas rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Malah, beliau percaya Sarawak masih mempunyai suara yang besar di Putrajaya memandangkan Bumi Kenyalang mempunyai enam menteri.

“Saya difahamkan bahawa kali ini perdana menteri hendak mengurangkan sedikit bilangan Jemaah Menteri, dan penyusunan semula Kabinet dibuat untuk memberi laluan kepada negeri Selangor supaya mereka mempunyai seorang wakil Kabinet,” katanya lapor Bernama, merujuk kepada perlantikan Tan Sri Noh Omar ke portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Dari sudut Jemaah Menteri Persekutuan, Sarawak masih ramai (iaitu) enam orang menteri antaranya wakil masyarakat Iban Datuk Joseph Entulu Belaun (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), dan wakil masyarakat Bidayuh Datuk Seri Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia).

“Seterusnya Sarawak juga ada menteri-menteri daripada PBB termasuk Anggota Parlimen Lawas Henry Sum Agong berbangsa Lun Bawang yang dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.”

Kenyataan ini menyusuli laporan Borneo Post hari ini bahawa pimpinan kanan Kerajaan Sarawak tidak berpuas hati kerana Sarawak kehilangan satu jawatan menteri penuh.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dilaporkan berdukacita kerana jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang dilepaskan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Douglas Uggah Embas diberikan kepada Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Douglas Uggah meletak jawatan apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak Mei lepas, selepas memenangi kerusi DUN Saban, dalam pilihan raya negeri yang lepas.

Malay Mail pula melaporkan Ketua Pembangkang Sarawak, Chong Chieng Jen berkata Putrajaya gagal memberikan penghormatan sewajarnya kepada Sarawak walaupun diberi sokongan berterusan daripada Barisan Nasional negeri.

Rombakan para menteri di Jabatan Perdana Menteri dijangka akan berlaku dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.