Mengulas kejadian seorang pemandu yang maut angkara beg udara pecah, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata mangsa barangkali tidak terima pesanan sekiranya tidak membalas notis panggil balik yang pertama.
Semalam, Honda memaklumkan tiga notis panggil balik telah dihantar kepada pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian Ahad lepas.
“Adakah Honda mempunyai mekanisme untuk periksa samada pelanggan terima notis panggil balik?” soalnya.
Nadzim berkata syarikat perlu memastikan pelanggan terima pesanan kenderaan mereka perlu dipanggil balik.
“Bagaimana pula dengan pemilik kereta terpakai yang tidak punyai hubungan langsung dengan pengilang?” soalnya lagi.
Beliau berkata syarikat kereta perlu melebarkan saluran bagi mencapai seramai mungkin pelanggaan mereka.
“Barangkali, syarikat kereta boleh menyiarkan nama-nama pemilik dan atau plet number kenderaan-kenderaan yang belum dihantar selepas dipanggil balik,” cadangnya.
Dengan cara ini, beliau berkata ahli keluarga atau rakan juga boleh memberitahu pemilik kenderaannya perlu dihantar untuk dibaiki.
Nadzim berkata antara sebab mengapa pengguna teragak atau menangguhkan baikpulih adalah masa menunggu yang lama.
“Bagi sesetengah penguna, mereka tidak boleh tidak mempunyai kenderaan untuk tempoh masa yang lama. Syarikat perlu memastikan pengguna diberi kenderaan ganti sementara kenderaan dibaiki.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S M Idris pula berpendapat Honda bertanggungjawab memastikan sebarang masalah dengan barangan mereka dibaiki.
Beliau berkata tidak semua orang faham tujuan panggil balik atau kesan sekiranya kerosakan pada kenderaan tidak dibaiki.
Maka penghantaran notis tidak memadai, kataanya, yang berpandangan syarikat perlu memastikan semua kenderaan yang dipanggil balik dibaiki.
“Sekiranya perlu, hantar kakitangan untuk menghubungi pelanggan mereka dan pastikan pelanggan faham perlunya kenderaan yang dipanggil balik dibaiki.”
Semalam, Honda menjelaskan bahawa kenderaan Honda City 2005 yang terbabit dalam kemalahan termasuk dalam pengumuman panggil balik 21 mei 2015, yang memerlukan alat pengembung SDI beg udara Takata di bahagian pemandu digantikan.
Mangsa, seorang ibu beranak dua berusia 44 tahun, dipercayai terbunuh akibat terkena peluncur yang menembus dadanya, selepas kereta yang dipandu terbabit dalam kemalangan kecil dengan sebuah Mercedes Benz di Kota Damansara.
