Denda atau tidak, Tony Fernandez tetap guna ‘LCCT2’

Denda atau tidak, Tony Fernandez tetap guna ‘LCCT2’

Menamakan semula klia2 kepada LCCT2 boleh mengangkat kedudukannya sebagai gerbang kos rendah, kata bos AirAsia.

fernandez

KUALA LUMPUR:
AirAsia akan tetap menukar nama “klia2” kepada “LCCT2” walaupun tidak berhak berbuat demikian kerana ia sebahagian daripada strategi pemasaran syarikat penerbangan kos rendah itu.

Bercakap kepada pemberita di acara Pitch@Palace di Hotel Mandarin Oriental hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata satu pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai membincangkan perkara itu akan diadakan esok.

“Saya sedang mengusahakan satu kempen pemasaran dan pihak menteri tahu berkenaannya. Tidak salah apa pun,” kata Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia menerjah ke muka hadapan media susulan laporan mendakwa syarikat itu mencetak tiket penerbangan menggunakan nama LCCT2 menggantikan nama lapangan terbang klia2.

Ketika ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya didenda kerana melawan kehendak kerajaan, Fernandes membidas penggunaan kuasa menghukum kumpulan peniaga.

“Saya bebas untuk bersuara. Saya boleh membuat pemasaran seperti yang saya mahukan. Mengapa kami dibuli? Kami hanya mahu berniaga, menghasilkan pekerjaan, menarik pelancong.

“Penalti, denda, itu semua lapuk.

“Bukankah kami (AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad) terlibat dalam bidang yang sama? Bukankah ini baik untuk Malaysia?

“Sekiranya mana-mana orang boleh beritahu langkah ini tidak baik untuk negara, saya akan hentikan,” kata Fernandes, dan menambah: “Marilah kita bekerjasama membina sesuatu dalam musim ekonomi kala ini.”

Beliau kemudian mendakwa KLIA dan klia2 beroperasi sebagai dua lapangan terbang berbeza kerana tiada penyepaduan antaranya.

Perkara ini boleh dilihat daripada ketiadaan pengangkutan membantu pengguna bergerak daripada satu hub ke hub yang lain.

“Walaupun ada ERL (Express Rail Link), kamu masih perlu bayar RM2. Ini satu-satunya lapangan terbang di dunia yang mengenakan bayaran untuk bergerak daripada satu terminal ke terminal yang lain.

“Ini tidak membantu penyepaduan antara dua lapangan terbang itu.”

AirAsia, yang membolot trafik penumpang terbesar di klia2, mengumumkan rancangan untuk menguar-uarkan terminal bajet klia2 sebagai LCCT2 awal bulan ini.

Syarikat itu berkata ia akan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai gerbang kos rendah terulung di rantau Asia dan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.