
Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, semua itu hanyalah andaian dan imaginasi Mukhriz yang merupakan spekulasi jahat tidak bersandarkan kebenaran untuk menimbulkan keresahan dalam parti.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, kini ahli Umno sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.
“Umno Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti, tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang digerakkan.
“Sehubungan itu, saya meminta Mukhriz dan semua pihak tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam dalam satu majlis di ibu negara, Muhkriz mendakwa beliau mengesyaki terdapat perjanjian Umno-PAS membabitkan ‘pertukaran’ di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
– BERNAMA