Masyarakat Kristian sedia bubur lambuk untuk rakan Muslim

Masyarakat Kristian sedia bubur lambuk untuk rakan Muslim

Adun Telang berkata, usaha itu merupakan contoh toleransi di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di Sarawak.

Dennis-Ngau

PETALING JAYA:
Masyarakat Kristian di Long Lama, Sarawak menunjukkan semangat toleransi dan keharmonian dengan membantu umat Islam menyediakan bubur lambuk pada Ramadan.

Menurut laporan Borneo Post Online, Adun Telang Usan, Dennis Ngau memuji usaha masyarakat Kristian di Long Lama itu dan mencadangkan ia dijadikan acara tahunan bagi memperkukuhkan hubungan antara rakyat berbilang agama di kawasan terbabit.

Jelasnya, komuniti itu bekerjasama dengan beberapa keluarga Islam untuk menyedia dan mengagihkan bubur lambuk itu berdasarkan semangat damai dan persaudaraan pada Ramadan.

“Hari ini, kami nampak masyarakat Kristian di Long Lama bekerjasama dengan saudara Muslim ketika Ramadan, mencerminkan sikap hormat dan toleransi antara amalan serta adat resam agama berbeza yang jarang dilihat di tempat lain,” kata Dennis kepada Borneo Post Online.

Dennis ketika menghadiri majlis pengagihan bubur lambuk itu berkata, usaha itu merupakan contoh toleransi yang diamalkan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan kaum di Sarawak.

Baru-baru ini, sebuah gereja di Kuching mengadakan majlis berbuka puasa di Pusat Kariah Kristian St Joseph yang dihadiri umat Islam setempat.

Ketua biskop gereja Kristian di Kuching, John Ha Tiong Hock dilaporkan sebagai berkata, majlis itu sebenarnya cadangan Zabariah Matali yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah NGO Islam, iaitu Pusat Maklumat Islam Sarawak pada Februari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.