Tuduhan mufti Pahang terhadap DAP bermotif politik

Tuduhan mufti Pahang terhadap DAP bermotif politik

Penasihat umum Amanah berkata tuduhan itu hanya bersifat peribadi dan memalukan umat Islam.

Mufti-Pahang-Datuk-Seri-Dr-Abdul-Rahman-Osman
PETALING JAYA: Tuduhan mengatakan umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta tergolong dalam kalangan kafir harbi hanya tuduhan bersifat peribadi.

Penasihat Umum Amanah Ahmad Awang berkata tuduhan yang dibuat Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman itu juga bermotifkan politik.

“Itu pendapat peribadinya (Rahman) bukan fatwa. Cakap politik sajalah,” katanya seperti dilaporkan portal Amanah, Malaysiadateline.

Ahmad berkata dakwaan bersekongkol dengan DAP sebagai kafir harbi juga tidak wajar dilakukan oleh seorang mufti negeri kerana Malaysia belum mengamalkan pemerintahan Islam sebenar.

“Dia tidak faham apa sebenarnya. Jika dia nak keluarkan fatwa kena panggil pakar dalam kalangan profesional dan ulama untuk teliti dasar parti DAP untuk melabelkan pemimpin parti itu sebagai kafir harbi.

“Kenapa tak sebut pemimpin MCA, Gerakan yang majoriti ahlinya Cina yang turut menentang hudud dan RUU baru-baru ini, kenapa sebut DAP saja. Sedangkan dalam DAP ada ahlinya juga orang Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata tindakan Rahman itu juga memalukan umat Islam dan mufti negeri itu dicadangkan supaya berhenti menjadi mufti jika mahu mengeluarkan kenyataan bersifat politik.

“Kenyataan beginilah yang jatuhkan imej Islam apabila bercakap ikut suka hati kerana memegang jawatan mufti.

“Jika dia nak keluar fatwa tanpa mengikut kaedah sepatutnya, berhentilah jadi mufti… elok cakap politik, masuk saja politik,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Rahman sebagai berkata adalah haram dan berdosa besar jika umat Islam bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP.

Malah, politik kebencian yang diamalkan DAP juga dibimbangkan boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara jika ia berterusan.

Akhbar sama juga melaporkan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata DAP merupakan musuh yang nyata buat Islam dan menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad segera meninggalkan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.