Ambil vaksin tanggungjawab fardu kifayah setiap individu

Ambil vaksin tanggungjawab fardu kifayah setiap individu

Dr Abd Rahim berkata, pendirian menolak vaksin berpunca daripada mereka yang mendengar hujah golongan agama tidak pakar dalam ilmu perubatan.

vaksin_600

KUALA LUMPUR:
Salah faham masyarakat dalam mendapatkan maklumat tidak sahih daripada sumber terbuka seperti laman web dan media sosial menjadi punca segelintir ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad berkata, banyak artikel berkaitan anti-vaksin yang mempunyai ciri sama seperti sumber diambil daripada individu bukan pakar.

“Didapati juga blog atau web mendakwa mereka adalah daripada pertubuhan atau orang yang boleh dipercayai, namun mereka sebenarnya tidak amanah dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.

“Selain itu, penyebar maklumat adalah mereka yang menggunakan nama samaran dan tidak menunjukkan identiti sebenar,” katanya kepada Bernama.

Dr Zubaidi berkata, terdapat dua golongan menolak vaksin iaitu mereka yang sibuk atau tidak sempat menghantar anak menerima suntikan itu dan kedua ialah mereka yang menerima fahaman salah dan bertegas tidak membenarkan anak mereka divaksinkan.

“Golongan pertama itu boleh dipujuk semula untuk datang ke klinik atau pusat kesihatan, sebaliknya golongan kedua adalah sukar kerana orang dan sumber yang salah ‘brainwash’ otak mereka,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, vaksin diberikan kepada manusia untuk melindungi dan mencegah penyakit berjangkit tertentu dan berbahaya.

“Banyak kajian menunjukkan penyakit berjangkit jika tidak dikawal, ia akan merebak kepada masyarakat dengan pantas menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati ibu bapa memastikan anak-anak mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit.

Ia susulan dua kematian disyaki akibat jangkitan difteria dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lalu dan Kedah kelmarin.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes kematian itu tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Abd Rahim Mohamad pula berkata, pendirian menolak vaksin berpunca daripada mereka yang mendengar hujah golongan agama tidak pakar dalam ilmu perubatan.

Dr Abd Rahim berkata, masyarakat seharusnya sedar vaksin adalah satu kaedah pencegahan yang diiktiraf dan diamalkan ribuan doktor Muslim yang amanah dan dipercayai di seluruh dunia.

“Adalah cetek fikiran jika ada yang menganggap kelompok profesional ini terpengaruh dengan konspirasi musuh Islam ataupun tidak maklum status halal haram vaksin semasa memberikannya kepada pesakit mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Dr Abd Rahim menyeru golongan agama berwibawa menyampaikan fakta betul mengenai vaksin dan menghindari prasangka tidak benar.

“Masyarakat pula dinasihatkan bertanya kepada mereka yang arif dalam bidang ini, iaitu doktor Muslim yang tidak mementingkan diri sehingga membahayakan nyawa keluarga.

“Pengambilan vaksin sehingga tercapai ‘Herd Immunity’ yang tinggi dalam suatu komuniti adalah tanggungjawab fardu kifayah (dituntut) setiap individu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam blognya NajibRazak.com berkata, program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan yang diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu diberikan secara percuma dan bersandarkan syariat Islam di dalam konsep Maqasid Syariah, iaitu Hifz Al-Nafs atau pemeliharaan jiwa.

Program imunisasi itu, kata Najib, berjaya mengatasi dan membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit, bagaimanapun segala usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya ada kalangan masyarakat menyebarkan berita-berita dan khabar angin yang menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr John Chew Chee Ming kesal dengan pengambilan imunisasi untuk bayi yang dihalang segelintir masyarakat menolak imunisasi atau mungkin terlepas daripada menerima imunisasi tersebut.

“Kami menggesa semua pertubuhan berkaitan – kerajaan dan swasta – untuk bekerja bersama bagi memastikan semua bayi dan kanak-kanak menerima vaksin sepenuhnya mengikut jadual Imunisasi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Chew berkata, MMA turut menggesa semua doktornya supaya peka terhadap tanda dan simptom difteria khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan merujuk serta memaklumkan semua kes disyaki kepada pihak berkuasa kesihatan.

Dalam pada itu, seorang bapa, Marizal Abd Manan, 29, berpendapat pemberian suntikan vaksin bagi anaknya perlu memandangkan zaman sekarang wujud pelbagai penyakit baru.

“Saya bimbang zaman sekarang dah berevolusi, jadi jenis penyakit turut berkembang dan kita akan mudah terdedah dengannya…vaksin diambil sebagai pencegahan.

“Di negara barat, ibu bapa sanggup keluar dan habiskan duit semata-mata mahu membeli vaksin, sedangkan di negara kita vaksin dibekalkan secara percuma oleh kerajaan,” katanya.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.