Pengerusi NGO anti jenayah ditahan peras ugut

Pengerusi NGO anti jenayah ditahan peras ugut

Pengerusi ini memperoleh hasil peras ugut sebanyak RM300,000 setiap bulan sejak beberapa tahun.

haram

PETALING JAYA:
Akibat tidak tahan dengan peras ugut berterusan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan berkaitan jenayah, pengusaha judi ekor haram tampil membuat laporan polis.

Pengusaha itu mendedahkan suspek bergelar Datuk itu memeras ugut wang berjumlah RM25,000 sebulan.

Ekoran itu, suspek ditahan lewat malam Rabu di Nilai, Negeri Sembilan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada jam 10.50 malam Rabu, di Plaza Tol Nilai.

Menurut sumber seperti yang dipetik sebuah laporan portal, pengerusi ini memperoleh hasil peras ugut sebanyak RM300,000 setiap bulan sejak beberapa tahun.

Tambah sumber lagi, pengerusi itu dikesan membuat peras ugut terhadap pengusaha judi haram di seluruh negara antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Kami mendapati nilai tertinggi yang direkod dibayar pengusaha judi ekor haram kepada Datuk itu ialah RM25,000 sebulan,” kata sumber.

Dalam satu lagi kenyataan, sumber turut menyatakan pengerusi yang berusia 30an merupakan ahli kumpulan kongsi gelap 36 namun belum dapat disahkan tahap penglibatannya dalam kumpulan haram itu.

Pengerusi yang ditahan itu terkenal dengan pelbagai pendedahan lantang aktiviti berkaitan jenayah seperti judi, maksiat dan kongsi gelap.

Dia ditahan ketika sedang menerima wang daripada pengusaha judi ekor haram.

Menurut laporan berita itu lagi, pengerusi terbabit bertemu pengusaha judi haram dan memeras ugut untuk bersetuju dengan rundingan RM25,000 sebulan jika tidak mahu kegiatannya didedahkan oleh pihak media atau dilaporkan kepada polis.

“Mangsa juga dipercayai mempunyai bukti rakaman suara Datuk ketika berurusan dengan pengusaha itu,” petik laporan itu yang turut mendapatkan pengesahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh berhubung penangkapannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.