Itu soalan yang diajukan Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) yang berpendapat Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Berhad (MAB), Christoph Muller, berlaku tidak adil dengan menuduh kakitangan syarikat penerbangan itu tidur semasa waktu bekerja.
“Sesetengah kakitangan yang ditamatkan berkhidmat dan berkorban untuk penerbangan itu berdekad lama, bahkan lebih lama daripada Mueller dalam industri ini.
“Sekiranya alasan pengecilan lantaran beliau percaya ada dalam kalangan kakitangan tidak melaksanakan kerja mereka, maka itu yang perlu dinyatakan dalam surat penamatan khidmat kakitangan.
“Membuat tuduhan seperti itu setahun kemudian adalah sangat tidak bertimbang rasa. Bagi kami, seolah-olah beliau menampar muka kakitangan selepas mereka ditendang keluar,” katanya kepada FMT.
Ismail mengulas temubual Christoph dengan media Jerman, Deutsche Welle (DW), di mana beliau berkata 6,000 pekerja terpaksa dibuang kerana 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu tidak bekerja, malah ada yang tidur di hangar.
Nufam bingkas membela kakitangan terkesan, dengan mengatakan Christoph tidak faham budaya Malaysia.
Kenyataan Nufam itu bagaimanapun dikritik orang ramai yang mentafsirkannya seolah Nufam menyokong budaya “tidur semasa waktu bekerja”.
Ismail, bagaimanapun, berkata salah faham berlaku akibat laporan sebuah portal berita tempatan yang tidak menonjolkan bahagian lain dalam kenyataan mereka, termasuk sebab mengapa sesetengah kakitangan MAS perlu tidur buat seketika.
“Saya tidak kata Nufam menggalakkan kakitangan masuk bekerja kemudian membazirkan masa dengan tidur.
“Apa yang saya cuba sampaikan adalah apabila mereka bekerja siang dan malam, ada kalanya mereka perlu berehat untuk kembali bertenaga. Kerja operasi tidak mudah selepas waktu tempoh yang lama, mata dan fikiran jadi tersangat letih.
“Turun ke lapangan dan saya akan tunjukkan bagaimana orang-orang itu bekerja terutamanya kru selepas mereka terbang 15 jam merentasi dunia.
“Mengapa semua itu tidak dinyatakan semasa menyiarkan berita itu?” keluhnya.