Honda panggil balik 147,894 kenderaan

Honda panggil balik 147,894 kenderaan

Panggilan balik itu tidak membabitkan semua model yang sedang dijual.

honda_airbag_600

KUALA LUMPUR:
Honda Malaysia meneruskan langkah proaktifnya bagi memastikan keselamatan pelanggan dengan memanggil balik 147,894 unit kenderaan Honda bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.

“Kerja-kerja penggantian akan dijalankan sebaik alat ganti tersedia. Alat ganti dan caj buruh yang berkaitan dengan panggilan balik ini akan ditanggung Honda Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, model-model kenderaan itu terdiri daripada Accord keluaran 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Daripada jumlah itu, Accord membabitkan 46,832 unit, City (52,345), Civic (23,701), CR-V (15,938), Freed (2,582), Insight (5,053), Jazz (899) dan Odyssey (544).

Honda Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan keselamatan merupakan keutamaan syarikat itu dan mereka kesal atas kesulitan yang timbul.

Namun, panggilan balik itu tidak membabitkan semua model yang sedang dijual.

Pelanggan terjejas akan dimaklumkan menerusi surat makluman termasuk butiran panggilan balik itu.

Mereka yang menerima makluman itu dinasihatkan membawa surat tersebut dan kenderaan masing-masing ke penjual Honda sah terdekat untuk pemeriksaan.

Pemilik Honda juga boleh menyemak status panggilan balik kenderaan masing-masing menerusi talian bebas toll 1-800-88-2020 atau log masuk www.honda.com.my atau kunjungi mana-mana peniaga Honda yang sah.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.