“Isu sebenar ialah kelayakan dan kemampuan mendapat pekerjaan seseorang graduan. Ini caranya menyelesaikan masalah itu, bukan dengan mengaitkannya dengan kaum,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, yang menuduh syarikat milik Cina sengaja memberi alasan kelemahan bahasa Inggeris di kalangan graduan Bumiputera universiti tempatan apabila tidak mengambil mereka bekerja.
Ibrahim mendakwa orang Cina hanya bekerjasama sesama kaum sendiri dalam bidang perniagaan dan tidak memberi peluang kepada orang Melayu berniaga.
Sebelum itu, bekas naib canselor Universiti Malaya, Ghauth Jasmon berkata, jumlah graduan universiti awam yang menganggur dijangka meningkat dengan 80% daripada 400,000 penganggur terdiri daripada Bumiputera disebabkan mereka lemah dalam bahasa Inggeris.
Saifuddin bagaimanapun bersetuju ada kajian yang mendapati syarikat milik Cina lebih gemar mengambil graduan berbangsa Cina, seperti kajian dilakukan profesor Universiti Malaya, Lee Hock Aun.
“Tetapi saya rasa tidak perlu mengeluarkan kenyataan bersifat am seperti Ibrahim. Isu sebenar lebih rumit. Misalnya, terdapat juga Bumiputera yang tidak minat bekerja di syarikat milik Cina,” kata Saifuddin.
Beliau berkata keadaan semakin mencabar dan majikan khususnya syarikat antarabangsa kini mendahulukan graduan yang mempunyai kelayakan antarabangsa.
Beliau turut bersetuju penguasaan bahasa Inggeris memainkan peranan penting dalam mendapatkan pekerjaan.
