Doktor gigi disaran amalkan langkah keselamatan

Doktor gigi disaran amalkan langkah keselamatan

Ia termasuk mencatat latar perubatan dan pergigian pesakit, komunikasi yang baik dan pemerhatian semasa rawatan.

Nedunchelian_Dentist_600

PETALING JAYA:
Doktor gigi dinasihatkan mengamalkan langkah-langkah keselamatan supaya tidak terlibat dalam sebarang masalah.

Presiden Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia, Dr V. Nedunchelian memberitahu ia termasuk mencatat latar perubatan dan pergigian pesakit, komunikasi yang baik dan pemerhatian semasa rawatan.

“Kita juga perlu melihat secara luaran seperti tangan dan wajah pesakit untuk mengenal pasti masalah berkaitan perubatan yang lain.

“Kemudian, kita perlu lakukan pemeriksaan mulut dalaman untuk melihat jika terdapat sebarang tanda patologi, seperti ulser.

“Bagi sesetengah orang, mereka bukan sahaja mempunyai ulser mulut tetapi juga perut, maka anda perlu melihat jenis ubat yang boleh diberikan kepada mereka,” katanya seperti yang dilaporkan dalam The Star.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sendiri berhadapan dengan pesakit yang menghidapi sawan selepas rawatan selesai.

“Suaminya memberitahu saya bahawa dia mungkin diserang sawan dan kami mengambil segala langkah berjaga-jaga.

“Saya mencabut gigi dan kami sedang berbual, tiba-tiba dia diserang sawan. Namun, ia dikendalikan dengan selamat kerana sudah diberitahu dan kami bersedia lebih awal.”

Sememangnya bukan mudah bagi sesetengah pesakit untuk mendedahkan sejarah perubatan mereka, tetapi Dr. Nedunchelian berkata penting untuk doktor gigi memperoleh maklumat sebelum rawatan.

Beliau juga menyarankan agar doktor gigi dilengkapi dengan pengetahuan langkah-langkah keselamatan asas yang lain seperti memiliki tangki oksigen dan ubat-ubatan kecemasan yang boleh diberikan apabila diperlukan.

“Jika perlindungan ini tidak dipatuhi, ia boleh membawa kepada ketidakcekapan prosedur pergigian dalam industri,” katanya.

Doktor gigi tempatan digesa berbuat demikian berikutan kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi awal bulan ini.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak perempuan sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 37, meninggal dunia selepas rawatan di sebuah klinik gigi di Bangsar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.