Pusat jagaan anak di masjid, ibu bapa tenang bertarawih

Pusat jagaan anak di masjid, ibu bapa tenang bertarawih

Pusat dibuka dari waktu solat isyak sehingga selesai solat sunat tarawih dengan pelbagai aktiviti disediakan.

masjid-al-hasanah

BANGI:
Masjid Al-Hasanah Bangi di sini menyediakan khidmat penjagaan percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun sepanjang Ramadan bagi membantu ibu bapa mengimarahkan masjid dan meningkatkan amalan dalam bulan mulia ini.

Pusat jagaan itu yang terletak di bahagian belakang bangunan masjid, hanya dibuka dari waktu solat isyak sehingga selesai solat sunat tarawih dengan pelbagai aktiviti disediakan sementara menanti ibu bapa selesai bertarawih.

Pengerusi Biro Wanita masjid, Che Maryam Ahmad berkata sejak perkhidmatan itu diperkenalkan empat tahun lalu, permintaan daripada ibu bapa semakin bertambah.

“Sebelum ini, masjid kami hanya menyediakan dua pengasuh dengan dibantu anggota jawatankuasa masjid tetapi tahun ini, kami mengupah enam tenaga pengasuh yang dibayar RM700 sebulan,” katanya.

Che Maryam, yang juga pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata pengasuh yang berumur antara 20 dan 50 tahun itu terdiri daripada penduduk yang tinggal di sekitar masjid itu termasuk pelajar universiti, suri rumah dan ibu tunggal.

Untuk tujuan keselamatan, hanya satu pintu saja dibuka bagi memastikan kanak-kanak itu tidak keluar dari pusat jagaan tersebut.

Ruzzie Haironi, 45, berkata perkhidmatan yang disediakan di masjid itu membuatnya berasa tenang semasa menunaikan solat tarawih kerana anaknya dijaga oleh tenaga pengasuh di masjid berkenaan.

Bekas pramugari MAS yang tinggal berhampiran masjid itu berkata, ini tahun kedua dia menggunakan khidmat pengasuh untuk menjaga anak sulungnya, Nadia Mohd Zaem, 5, bagi membolehkan beliau bersolat fardu dan sunat terawih berjemaah di masjid itu.

Awal Mohd Luqman Wan Mohd Yusof, 25, berkata beliau pula terpaksa menunggu anak sulungnya Wan Lutfi Alfateh, 2, ditenangkan oleh pengasuh sebelum meninggalkannya di bilik asuhan untuk bertarawih.

Awal yang bekerja di Humanitarian Care Malaysia Serdang berkata ini kali pertama beliau menggunakan khidmat di masjid itu semasa bertarawih selepas berpindah ke Kajang tahun lalu.

Ahli perniagaan Effendy Zulkifly, 34, yang menetap di Bangi kini lebih yakin untuk membawa anaknya, Daniyal Rizqi, 4, ke masjid kerana keselamatan anaknya terjamin semasa beliau menunaikan solat tarawih.

“Saya sangat berpuas hati kerana ia dapat menggalakkan anak-anak cintakan masjid dan menjadikan ia sebagai tempat menghiburkan dan juga memudahkan ibadah buat seisi keluarga,” katanya.

Masjid Al-Mustaqim, Bandar Seri Putera juga menyediakan perkhidmatan jagaan di bawah program Nursery Ramadan sejak tahun lepas.

Setiausaha program itu, Noorizzati Muhammad Zamani berkata perkhidmatan penjagaan itu hanya disediakan pada setiap hujung minggu saja kerana tidak mempunyai bilangan petugas yang mencukupi disebabkan bekerja.

Noorizzati, yang merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum, Nilai berkata ketika ini mereka hanya mempunyai lima petugas yang akan bertugas secara bergilir pada setiap hujung minggu.

“Nursery Ramadan ini menerima kanak-kanak berumur antara dua dan lapan tahun dengan pelbagai aktiviti dijalankan mengikut kategori umur mereka. Antara aktiviti ialah mewarna, belajar solat dan Iqra,” katanya.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.