Michel, 39, berbangsa Arab Israel menjalankan tugas sebagai maseharati (tukang kejut sahur) kota itu dengan gembira, meskipun dia seorang penganut Kristian.
“Kita semua keluarga yang sama,” katanya yang mengenakan pakaian tradisional ketika menjalankan tugasnya itu sejak 13 tahun lalu.
Acre ialah kota lama di barat laut Israel, menghadap Laut Mediterranean dengan populasinya kira-kira 50,000 orang termasuk Yahudi, Islam, Kristian dan Baha’i.
Suaranya memanggil umat Islam bangun dan bersahur memecahkan keheningan jalanan yang sunyi dan dihiasi lampu tradisional pelbagai warna sempena Ramadan.
Satu demi satu rumah mula menyalakan lampu. Ada yang menjengah keluar tingkap untuk menyapanya dan memaklumkan mereka sudah bangun dan sedia untuk bersahur.
Kira-kira 28% daripada populasi di Acre ialah Arab Israel, yang juga berbangsa Palestin dan waris mereka kekal menetap di situ selepas penubuhan Israel pada 1948. Kebanyakan orang Arab di situ beragama Islam.
Budaya mesaharati sebenarnya sudah lama lenyap di Acre sehinggalah Michel menghidupkannya semula dan dia mengakui itu caranya untuk memelihara warisan datuknya.
Beliau berkata, datuknya seorang penganut Katolik yang warak, tetapi akan mendengar bacaan Al-Quran setiap Jumaat.
“Saya membesar dengan percaya kepada idea kewujudan bersama, menghormati dan tahu mengenai agama lain.
“Dengan menjadi mesaharati, saya hanya menjalankan tugas dengan membantu saudara Islam kita mengharungi lapar dan dahaga ketika Ramadan,” katanya.
-AFP
