Lelaki ditahan bantu siasatan kes cabul kanak-kanak

Lelaki ditahan bantu siasatan kes cabul kanak-kanak

Seorang wanita nekad membuat laporan polis selepas melihat sendiri kejadian kanak-kanak enam tahun dicabul

Wan Ahmad Najmuddin

JOHOR BAHARU:
Polis menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes cabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun di Taman Kota Jaya, dekat Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 20 tahun itu ditahan kira-kira 5.24 petang di Balai Polis Kota Tinggi.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu ditahan selepas dia hadir ke balai polis bagi memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

“Suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya polis menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih kecil.

Wan Ahmad Najmuddin turut meminta ibu bapa berhati-hati terhadap anggota keluarga sendiri atau penjaga anak-anak supaya anak mereka tidak menjadi mangsa jenayah seksual.

Ibu bapa juga diminta menjalinkan hubungan rapat dengan anak-anak supaya mereka tidak segan dan takut untuk mengadu sebarang masalah, kataya.

Semalam, media melaporkan tindakan seorang wanita yang nekad membuat laporan polis selepas melihat sendiri kejadian kanak-kanak perempuan itu dicabul di bahagian belakang rumahnya di taman perumahan berkenaan.

Kejadian itu dikongsi wanita itu di laman Facebooknya sejak Isnin lepas dan kemudian menjadi viral di laman sosial dengan netizen mengutuk perbuatan lelaki tersebut.

— BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.