Menurut seorang peguam Syariah yang dihubungi FMT berkata, kes tersebut menjadi rumit selepas JPN memasukkan nama suami Arlene sebagai bapa dengan merujuk kepada surat nikah dari Thailand.
Baru-baru ini, FMT melaporkan Arlene, 30, tidak dibenarkan berjumpa atau melihat anak perempuannya sejak lebih setahun selepas bapa kanak-kanak itu, Mohd Izam Mohd Ramzan enggan memulangkan anaknya yang dijaga bermula Februari lalu.
Pasangan itu berkahwin di Thailand dua bulan selepas Arlene melahirkan anak luar nikah di Malaysia, pada tahun 2007.
Perkahwinan itu tidak didaftarkan secara sah di Malaysia dan selepas dua bulan berkahwin, Izam bercerai dengan Arlene dengan menjatuhkan talak.
Mereka kemudiannya memilih jalan sendiri tanpa melalui prosiding undang-undang yang betul untuk memfailkan perceraian melalui mahkamah syariah.
Selaku anak tidak sah di bawah undang-undang Syariah, nama anak perempuan Arlene tidak disertakan dalam ruangan sijil kelahiran.
Bagaimanapun pada Disember 2014, pasangan itu ke JPN untuk memasukkan nama Izam sebagai bapa kanak-kanak, berdasarkan sijil perkahwinan dari Thailand yang disediakan oleh mereka.
Langkah ini dipersoal memandangkan sijil perkahwinan Thai tidak diiktiraf di dalam negara ini, melainkan ia diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Presiden Persatuan Peguam Muslim, Zainul Rijal Abu Bakar berkata kelalaian JPN itu akhirnya memihak kepada Izam.
“Beliau (Izam) tidak boleh dianggap telah menculik kanak-kanak itu kerana mempunyai namanya dalam sijil perakuan, justeru dia diiktiraf sebagai bapa yang sah.
“Melainkan jika Mahkamah Syariah mengeluarkan hak penjagaan kepada Arlene dan suaminya enggan mematuhi, barulah ia akan menjadi satu kes penculikan,” kata Zainul.
Sementara itu, Izam dan Arlene juga berkemungkinan menghadapi hukuman penjara atau melibatkan diri dalam khidmat awam kerana berkahwin di Thailand tetapi tidak mendaftarkannya di sini.
Menurut Seksyen 35 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, mana-mana perkahwinan yang telah dilangsungkan di luar negara tetapi tidak didaftar dengan pihak berkuasa Syariah tempatan dalam tempoh enam bulan, pasangan tersebut boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM1,000, penjara enam bulan maksimum, atau kedua-duanya.
Selain itu, persoalan tentang tarikh yang dinyatakan dalam sijil perkahwinan Thailand juga dibangkit.
Arlene berkata mereka telah meminta ‘kadi’ (pegawai perkahwinan orang Islam) di Thailand supaya mengawalkan tarikh sijil agar kelihatan seolah-olah mereka telah berkahwin sebelum anak itu dilahirkan, manakala cerita Izam pula bercanggah dengan menyatakan mereka mendaftarkan perkahwinan itu lewat .