Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Chu Jie Lie meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan Hospital Balik Pulau (HBP) selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa berada dalam kereta berkenaan bersama kakaknya berusia enam tahun dengan enjin kenderaan itu tidak dimatikan.
“Ketika itu, ibu mereka tiada dalam kereta berkenaan dan dipercayai masuk ke dalam rumah mereka untuk mengambil barang, dan mangsa menolak gear pada kedudukan mengundur membuatkan kereta terbabit bergerak.
“Kanak-kanak itu yang panik membuka pintu dan terjun keluar daripada kereta sebelum dia digilis tayar kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Fah Hin berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah terus dibawa ke HBP oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia.
“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan polis belum dapat mengambil keterangan daripada ibu mangsa kerana wanita itu masih dalam keadaan trauma,” katanya.
– BERNAMA