Peninju Syria enggan bertumbuk dengan Israel

Peninju Syria enggan bertumbuk dengan Israel

Beliau berhenti bertanding dalam pusingan kelayakan Olimpik itu kerana tidak mahu berjabat tangan dengan peninju Israel.

Ala-Ghasoun

SYRIA:
Seorang peninju dari Syria mengisytiharkan keluar daripada pusingan kelayakan ke Olimpik kerana enggan menyertai perlawanan yang memerlukannya menentang peninju Israel.

Ala Ghasoun dijadualkan bertanding menentang peninju Israel, Artium Musley.

Susulan keengganan Ala menyertai perlawanan itu, Artium akan secara automatik dipindahkan ke pusingan seterusnya dalam pusingan kelayakan di Baku, Azerbaijan.

Pertandingan itu ialah kelayakan wajib untuk bersaing dalam Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Rio de Janeiro pada Ogos.

“Saya berhenti daripada pertandingan ini kerana saingan saya ialah Israel dan saya tidak boleh berjabat tangan atau bersaing dengannya kerana ia rejim Zionis yang membunuh rakyat Syria.

“Jika saya berlawan dengan mereka, ia bermakna saya, sebagai seorang atlet dan Syria, sebagai sebuah negara, mengiktiraf negara Israel,” kata Ala.

Katanya, keputusan untuk berhenti bukan daripadanya saja tetapi mandat pegawai kanan Syria dan Persekutuan Sukan Syria.

Pada 2010, seorang peserta Iran turut menarik diri daripada pertandingan Taekwondo menentang peserta Israel, Gili Haimovitz yang memenangi pingat emas.

Manakala pada 2014, Presiden Persatuan Catur Sudan meletak jawatan berikutan satu permainan catur dijadualkan menentang pemain Israel di Kejohanan Catur Remaja Dunia di Afrika Selatan.

– AGENSI

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.