
Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon berkata tindakan ahli akademik itu cubaan memprovokasi kebencian antara kaum dan masyarakat di Malaysia.
“Dia penghasut yang cuba memprovokasi kebencian antara kaum dan masyarakat Malaysia patut menolak dia,” katanya kepada FMT hari ini.
Sin Woon berkata beliau sendiri sudah muak dengan tuduhan liar yang dilemparkan bekas ahli seumur hidup MCA itu dan menyifatkan ia langsung tidak ‘berkhasiat’.
“Saya sudah muak dengan tuduhan liar beliau yang langsung tidak berkhasiat. Buang masa saya hendak layan komen beliau kerana tidak bermutu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie berkata Ridhuan tidak berhak mengeluarkan sebarang pandangan dan kritikan terhadap parti itu.
“Siapa Ridhuan Tee untuk mempersoalkan MCA dan memberitahu apa yang perlu kami lakukan,” katanya.
Ridhuan dalam ruangannya di Sinar Harian hari ini mengkritik MCA kerana parti itu dilihat menentang pelaksanaan peraturan pemakaian wanita.
Beliau turut mendakwa MCA gemar mengasingkan diri dan memberi contoh pemimpin MCA yang tidak pernah berpakaian tradisi Melayu ketika menziarahi rumah pemimpin Umno pada majlis terbuka Hari Raya.
Sebaliknya, Ridhuan memuji kenyataan seorang pemimpin Cina di Kelantan yang menyambut baik langkah kerajaan negeri itu menasihati wanita yang berpakaian ketat dan seksi.
Ridhuan berkata Cina Kelantan lebih sensitif terhadap budaya Melayu tempatan kerana mengamalkan asimilasi dan bukan segregasi.