“Saya tidak dapat terima Najib (Perdana Menteri) yang berpegang kepada konsep “Cash is King”.
“(Najib) Mengamal rasuah sebagai prinsip politiknya,” katanya melalui catatan di blog miliknya.
Menceritakan secara terperinci penentangannya, Mahathir tidak dapat menerima seorang perdana menteri yang menjatuhkan maruah rakyat dan negara, setelah akhbar dan televisyen seluruh dunia menyiarkan bukti salah laku.
“Institusi-institusi kerajaan di Switzerland dan Singapura mendakwa berkenaan kesalahan 1MDB pimpinan Datuk Seri Najib dalam pengurusan wang 1MDB.
“Pembayaran berbilion ringgit kepada syariakt palsu, yang menyebabkan 1MDB disaman oleh badan milik kerajaan Abu Dhabi supaya dibayar gantinya sebanyak RM20 bilion lebih,” katanya.
Bekas perdana menteri turut menjawab pertanyaan daripada pelbagai pihak berhubung pendiriannya setelah Barisan Nasional (BN) menang dengan selesa dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lepas.
“Pendirian saya tidak berubah. Mungkin ia menjadi lebih keras,” ujarnya.
Mahathir mendakwa kemenangan bergaya BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar lantaran pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi.
“Perbuatan ini dilihat oleh orang ramai.
“Tidak ada perasaan segan silu atau malu apabila membuat penipuan untuk mendapat kemenangan.
“Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut contoh yang ditunjuk oleh pemimpin,” tegasnya.
Mahathir mengeluh mereka yang ingin tahu pendiriannya perlu bertanya diri sendiri samada masih mempunyai harga diri sehingga sanggup berbangga dengan kemenangan hasil penipuan, hasil rasuah yang terbuka dan salah guna kuasa yang ketara.
Beliau menegaskan tidak mungkin menyokong perbuatan salah guna kuasa termasuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara yang akhirnya mengaut hutang berbilion ringgit.
Antara yang disebut adalah penglibatan individu kontroversi, Jho Low, dalam pengurusan 1MDB; pemindaan berjuta dolar Amerika Syarikat kepada syarikat Jho Low; pengakuan Najib berkenaan penerimaan RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya; kegagalan Najib menjelaskan sumber wang itu; kehilangan berbilion ringgit wang 1MDB dan pemindahan beban bayaran hutang 1MDB kepada kerajaan.
Sekali lagi Mahathir menegaskan, dirinya tidak boleh menyokong salahguna kuasa oleh Najib terhadap pengkritik, dengan persekongkolan Peguam Negara.
“Saya tidak mungkin sokong penyalahgunaan kuasa oleh Najib dengan menangkap, memasukkan dalam tahanan, menuduh dengan mengguna undang-undang yang salah iaitu undang-undang anti-pengganas yang kemudian ditukar kepada undang-undang mensabotaj ekonomi kononnya.”