Asean jangan pejam mata isu pencabulan hak asasi manusia

Asean jangan pejam mata isu pencabulan hak asasi manusia

Dasar tidak campur tangan Asean perlu anjal membincangkan isu pelarian, kata Syed Hamid Albar.

Syed-Hamid-Albar
KUALA LUMPUR: Tan Sri Syed Hamid Albar berkata dasar tidak campur tangan negara-negara Asean perlu lebih anjal, terutamanya dalam menangani isu pelarian.

“Negara-negara Asean perlu menghormati kedaulatan dan tidak campur tangan negara-negara anggota. Oleh kerana itu, ini isu sensitif.

“Tetapi limpahan isu pelarian bukan lagi isu dalam negara Myanmar. Ia merupakan pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

Bekas menteri luar negeri itu bercakap demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di perbincangan meja bulat Pakar UNHCR “Employing Refugees in Malaysia: A Win-Win for All?”.

Syed Hamid berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pernah cuba menubuhkan pejabat di Myanmar bagi menyiasat sebab yang kuat masalah antara rakyat Myanmar dan masyarakat Rohingya yang ditindas.

“Tetapi ada tentangan yang kuat daripada kumpulan pelampau di sana.”

Beliau menggesa Menteri Luar Negeri Aung San Suu Kyi supaya menyiasat isu itu. Beliau menyeru Suu Kyi untuk tidak mengabaikan krisis kemanusiaan itu.

“Masyarakat Rohingya dinafikan pendidikan dan rawatan. Mereka hidup dalam keadaan amat buruk.”

Tahun lalu, ribuan Rohingya melarikan diri daripada Myanmar ke Malaysia dan Indonesia demi mencari kehidupan yang lebih baik selepas bertahun diinjak di tanah air mereka.

Syed Hamid memuji langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian menerbitkan semula kad yang dipertingkat dengan ciri-ciri keselamatan biometrik kepada pelarian dan menyediakan dokumentasi secukupnya kepada pelarian di Malaysia.

Langkah diambil bagi membendung penyebaran kad palsu selepas media membongkar sindiket penerbitan kad palsu kepada pendatang haram.

Syed Hamid yang mengetuai HumaniTi Malaysia berkata beliau akan bertemu dan meminta pegawai-pegawai kerajaan supaya membenarkan pelarian sebenar bekerja di Malaysia sebaik sahaja dokumentasi selesai.

“Daripada menggunakan pekerja asing, guna sumber manusia sedia ada yang berdaftar dengan UNHCR untuk bekerja di sektor-sektor yang tidak diminati rakyat Malaysia.

“Itu cara yang baik untuk menyelesaikan kekurangan buruh,” katanya.

Melalui cara ini, jelasnya, pelarian tidak akan dieksploitasi dan mampu menjalani hidup bermaruah.

“Mereka tiada hala tujuan. Mereka melarikan diri daripada penindasan di negara mereka,” katanya.

Syed Hamid akui ada kebimbangan pelarian akan membanjiri Malaysia sekiranya mereka diizinkan bekerja.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan langkah dokumentasi terkini akan menghalang aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Syed Hamid berkata masyarakat Rohingya di Malaysia perlu diizinkan menetap kerana mereka tidak dikehendaki di negara mereka manakala masyarakat Myanmar lain dihantar pulang.

“Mereka tidak berdepan dengan penindasan di Myanmar.”

Asean dianggotai lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Viet Nam, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.