Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengundi Cina ditakutkan sekaligus menyebabkan undi kepada parti itu di kawasan majoriti Cina rendah.
“Isyarat jelas terutamanya Amanah dan Umno untuk menakut-nakutkan pengundi Cina. RUU Akta 355 Mahkamah Syariah sengaja diputarbelit.
“Ia bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina,” katanya menyampaikan ucapan kepada jentera PAS di Markas PAS, Simpang Lima, hari ini.
Calon Barisan Nasional BN Budiman Mohd Zohdi menerima 18,600 undi, diikuti calon Amanah, Azhar Abdul Shukur (7,609) dan calon PAS, Dr Abdul Rani (6,902).
Tuan Ibrahim berkata jentera PAS berjaya menepis sangkaan parti Islam itu tidak mempunyai masa depan.
“Tahniah pada jentera kita kerana berjaya hapuskan pelbagai sangkaan bahawa kita mempunyai masa depan yang gelap kerana kita bersendirian seperti yang didakwa Amanah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PRK PAS Sungai Besar, Datuk Iskandar Samad, berkata kekalahan ini merupakan suatu pengajaran.
“Walaupun kita tidak berjaya, banyak perkara yang penting kita dapat apabila berhadapan dengan pilihan raya.
Ujarnya, Pas akan mengkaji dan berbincang semula mengenai keputusan yang berlaku di Sungai Besar.
“Kita kena duduk balik bincang masalah yang kita kena hadapi di Sekinchan,” katanya lagi.