Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan wang tebusan daripada penculik.
“Sejumlah RM12 juta diberikan kepada polis tetapi bukan untuk membayar wang tebusan.
“Kerajaan memutuskan tidak akan bayar wang tebusan dan polis telah mematuhi arahan kerajaan.
“Saya mengesahkan wang itu tidak patut dibayar sebagai wang tebusan sebaliknya disalurkan kepada organisasi tertentu di Filipina untuk membantu perjuangan yang direstui undang-undang dan agama,” katanya dalam sidang media hari ini.
Zahid turut menegaskan organisasi itu tiada kaitan dengan pengganas atau kumpulan penjenayah.
“Kami tidak boleh mendedahkan agensi-agensi itu kerana ia adalah urusan polis,” katanya.
Jelasnya, beliau akan meminta polis mendedahkan butiran berkenaan kepada umum pada masa yang sesuai.
Semalam, Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara mangsa culik termuda, Johnny Lau Jung Hien dan wakil keluarga empat tebusan itu mendedahkan, wang derma sebanyak RM12 juta terdiri daripada pajakan dua rumah keluarga mangsa berjumlah RM1 juta, sumbangan orang ramai sebanyak RM9 juta dan RM2 juta lagi daripada syarikat perkapalan empat tebusan itu.
Hari ini, China Press melaporkan kira-kira RM18 juta dibelanjakan secara keseluruhan untuk membebaskan empat pemuda dari Sibu itu, termasuk kos rundingan dengan penculik yang dibiayai ahli korporat.
Media sebelum ini melaporkan wang tebusan yang diminta penculik adalah 300 juta peso (RM30 juta), sebelum dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).
Adik-beradik, Wong Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu sebelum dibebaskan pada 8 Jun lalu.