Rakyat Johor lapor polis kerana sayangkan TMJ

Rakyat Johor lapor polis kerana sayangkan TMJ

TMJ bersyukur dengan kehidupan yang Allah telah kurniakan kepadanya

tmj_hina_600

PETALING JAYA :
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menyatakan bahawa baginda tidak peduli dengan pihak yang mengkritik dan menghinanya.

Jelas baginda, pihak terbabit boleh terus dengan matlamat mereka kerana dirinya bersyukur dengan kehidupan yang Allah telah kurniakan kepadanya dan Allah akan sentiasa melindungi mereka yang benar.

“Kepada mereka yang mengatakan saya tidak boleh dikritik, saya telah dikritik sejak 2013 lagi bila saya mengambil alih PBNJ. Baru-baru ini isu beberapa individu telah ditangkap kerana menghina nama baik saya yang tak pernah saya kacau.

“Terdapat pihak yang cuba memutarbelitkan fakta mengatakan mereka mengkritik dan bukannya menghina. Ada juga segelintir yang memutarbelitkan fakta bahawa saya yang menitahkan untuk membuat tangkapan keatas individu individu ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, hakikatnya laporan polis dibuat oleh rakyat Johor kerana mereka masih menyayangi Institusi DiRaja.

“Jadi soalan saya kepada individu-individu tersebut adalah apa kena mengena dengan saya sekiranya ada orang lain membuat laporan terhadapnya? Ada juga sesetengah pihak yang menyeru saya untuk melepaskan individu-individu terbabit.

“Orang yang sama juga sentiasa menggunakan ayat yang tiada sesiapapun dikecualikan dari segi undang-undang dan sekarang mereka mahu saya untuk mengarahkan pihak polis untuk membebaskan individu-individu tertentu,” katanya.

Baru-baru ini, seorang remaja dijatuhi hukuman penjara selama setahun yang berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru selepas mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan menghina Institusi DiRaja Johor.

Pensabitan Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, itu bagaimanapun mengundang persoalan daripada pengamal undang-undang yang menyoal mengapa Amirul tidak diwakili peguam.

Menurut Suara Rakyat Malaysia (Suaram), individu lain yang ditahan polis baru-baru ini atas tuduhan menghina TMJ termasuk seorang penyokong bolasepak Pahang, Muhammad Masyhur Abdullah, 29; seorang penyokong bolasepak Selangor, Arrasyiddin Mohammad, 23; seorang nelayan, Nik Pa, 51 bersama anaknya, Nik Azwa, 17, dan Muhd Salman Zakaria, 30.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.