Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menjelaskan pengguna turut menjadi mangsa peniaga pemangsa.
“Walaupun GST hanya 6%, tetapi peniaga menjadikan alasan GST untuk menipu pengguna, sebagai contoh harga RM10 dia naik sampai RM15,” katanya kepada FMT.
Demikian reaksi Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan terhadap kenyataan Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Datuk Ibrahim Saad yang berhujah sikap pengguna membeli barangan melebihi keperluan menyebabkan permintaan melebihi bekalan, seraya mengakibatkan harga melonjak naik.
Berucap di wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam di Sungai Besar semalam, Ibrahim mengeluh ramai pengguna menuding jari pada kerajaan dan GST apabila harga naik, bukan pada tabiat mereka mengumpul barangan secara berlebihan.
Menjawab keluhan itu, PPIM berkata BTN telah meletakkan sepenuh kesalahan bukan pada tempat sepatutnya.
PPIM antara badan bukan kerajaan yang ke hadapan membawa isu pengguna, antaranya kes penipuan telefon bimbit di salah satu kompleks terkemuka di ibu negara.
Sebelum ini, Datuk Seri Alias Ahmad selaku Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata pihaknya menerima aduan pengguna ditipu peniaga lebih 1,500 aduan setiap bulan.
“Kenapa pula BTN keluarkan kenyataan macam itu,” kata Nadzim, yang kurang berpuas hati dengan kenyataan Ibrahim.
“Peniaga ini sepatutnya kena diperbetulkan juga,” tegasnya.
Malah, tambahnya, peniaga pemangsa yang menipu pengguna bukan hanya berlaku selepas GST dilaksanakan.
“Peniaga ini sejak azali lagi menipu pengguna, kebanyakan peniaga di Malaysia ini tidak beretika. Mereka menggunakan apa jua cara dan kaedah untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan pengguna,” katanya.
