Jangan hukum rakyat dengan cukai minuman bergula – Presma

Jangan hukum rakyat dengan cukai minuman bergula – Presma

Pelaksanaan cukai itu dikhuatiri akan menimbulkan kemarahan rakyat selepas GST.

Noorul-Hassan_minuman_cukai_600

PETALING JAYA:
Jangan dibebankan rakyat dengan cukai kepada minuman bergula, seru Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed pengenaan cukai baharu itu juga akan menyebabkan peniaga tersepit antara kewajipan cukai dan kemarahan rakyat, sepertimana ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sebelum ini.

“Kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan. Kalau nak menghukum (dengan mengenakan cukai) saya rasa itu perlu dijadikan jalan alternatif yang terakhir,” katanya kepada FMT.

Presma berkata demikian mengulas cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengenakan cukai kepada minuman bergula atau sugar-sweetened beverage tax (SBB) yang diimport atau diproses di kilang dalam usaha mengurangkan jumlah penghidap penyakit kencing manis.

Noorul berkata cara terbaik menghadapi penyakit kencing manis adalah melalui penerapan gaya hidup sihat dalam kalangan pengguna bermula seawal umur kanak-kanak.

“Kaedah terbaik adalah dengan menyedarkan orang ramai dengan cara mendidik. Kerajaan perlu menyedarkan orang akan kepentingan kesihatan, keburukan tidak menjaga kesihatan dan kesedaran sebegini perlu bermula di peringkat kecil lagi,” katanya.

Pada masa sama, Presma menafikan harga makanan akan dinaikkan sekiranya kerajaan melaksanakan SSB. Noorul menjelaskan kutipan cukai disalurkan ke kantung pemerintah, bukannya mengisi kocek peniaga.

“Kita tidak akan naikkan, yang naik adalah cukai. Macam GST itu pun satu bentuk cukai, kita tak naikkan harga, tetapi bila orang datang ke kedai dia kata naik harga, padahal dia bayar GST.

“Ini masalahnya, kami pun pening apa yang dilakukan kerajaan,” katanya.

SSB merupakan salah satu daripada strategi yang dikenalpasti oleh kementerian untuk mengawal penyakit tidak berjangkit berkaitan makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata cadangan ini termasuk dalam strategi yang dirangka kementerian melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia III dan ‘Policy Options’ bagi 2016-2025 untuk menangani masalah obesiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.