Berasal dari Kuala Krai, Kelantan, Maliki akan keluar dari rumahnya di Petaling Jaya jam 6 pagi untuk ke tempat kerja sebagai penghantar surat dan menjelang 6 petang dia akan membuka gerai burgernya berhampiran Sunway Mentari.
Pada 2010, dia mengambil keputusan untuk keluar dari zon selesanya dan cuba berniaga hidangan istimewa Kelantan – Nasi Kukus Ayam Berempah.
Dia memulakan perniagaan dengan sebuah gerai di tepi jalan, tetapi kini turut memiliki bukan satu tetapi dua lot restoran sendiri di Bandar Sunway.
Maliki memberitahu FMT dia mempelajari cara menyediakan hidangan itu daripada seorang rakan, tetapi mengubah suai resipinya berdasarkan kepada maklum balas dan kritikan pelanggan.
“Ketika mula berniaga dulu saya selalu tanya maklum balas pelanggan, dan jika mereka kritik saya tidak akan marah.
“Malah, saya gembira mendengar aduan mereka kerana ia banyak membantu saya memperbaiki hidangan itu.
“Hidangan istimewa kami ialah Nasi Kukus Ayam Berempah, tapi kami juga menyediakan puyuh goreng dihidangkan bersama nasi kukus.
“Kami juga ada nasi ayam, ayam penyet, sate dan roti canai di restoran,” katanya.
Hidangan istimewa Maliki didatangkan dengan sepinggan besar nasi, ayam goreng, acar nanas dan timun serta keropok bersama kuah kari ayam dan sambal.
Ayam itu diperap dengan herba dan rempah dibawa khas dari Kelantan, termasuk serai, kunyit, bawang merah dan putih.
Hidangan itu yang dijual pada harga RM7 sebungkus terjual seperti goreng pisang panas di kawasan itu, dengan kira-kira 1,200 bungkus setiap hari.
“Alhamdulillah, saya ada ramai pelanggan setia daripada pelbagai latar belakang.
“Saya juga ada ramai pelanggan terdiri daripada pelajar asing yang suka hidangan itu, malah ada yang datang setiap hari,” katanya, menambah ada antara mereka dari Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Iran dan Afrika.
Maliki berkata sasarannya ialah untuk membuka lima cawangan di sekitar Lembah Klang.
Meskipun kehidupannya kini jauh lebih baik berbanding sembilan tahun lalu, Maliki masih bekerja dari jam 6 pagi hingga 3 pagi setiap hari, memantau perjalanan perniagaan antara gerai dan restorannya dengan menunggang motosikal kapcai lamanya.
“Bila anda jadi bos, andalah yang kena kerja paling kuat. Anda kena kerja lebih kuat daripada pekerja.”
Ketika diminta berkongsi resipi kejayaannya, Maliki berkata dia berpegang kepada disiplin, kerja keras dan bersedia menerima pendapat dan kritikan daripada orang lain.