Slaid UTM: Tidak perlu melatah, kata Ridhuan Tee

Slaid UTM: Tidak perlu melatah, kata Ridhuan Tee

Pihak berkenaan tidak perlu terus melenting hingga mendesak pensyarah yang silap dalam menyediakan slaid pembentangan itu meletak jawatan.

ridhuan tee UTM

PETALING JAYA :
Penceramah kontroversi Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menempelak pihak yang cepat melatah berhubung kesilapan pengajaran berhubung agama Hindu dan Sikh kepada pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Beliau menyindir dengan berkata selama ini jika agama Islam dihina, ia tidak menjadi masalah dan dianggap bukan isu besar.

Katanya, isu slaid pembentangan yang salah seperti ini menyebabkan mereka terus melenting sehingga mendesak pensyarah berkenaan meletak jawatan.

“Kenapa kita begitu takut dan pengecut. Takut hilang jawatan. Dalam dunia akademik, jika yang ditulis ada justifikasi maka tidak ada masalah. Jangan terlalu cepat melatah.

“Sebelum ini jelas ketika RUU 355 dan agama Islam dihina, kenapa kita diam membisu tidak buat laporan polis?

“Sebab itu saya kata, kena kat kita tak apa, kena kat mereka sampai suruh dibuang kerja. Siapa mereka ini? Peribumi atau pendatang,” katanya seperti dilaporkan Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penulis yang membuat kesilapan terhadap slaid modul pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas).

Slaid berkenaan menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran pada badan sebagai sebahagian daripada amalan yang boleh membawa seseorang hamba ke alam Nirvana.

Selain itu, satu lagi slaid Titas UTM yang diedarkan di media sosial berkata agama Sikh adalah gabungan unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

Susulan itu, Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan menganggap slaid itu berniat buruk dan mencemarkan agama Hindu.

Ridhuan berkata penulis yang menulis slaid berkenaan sewajarnya diberikan peluang mempertahankan hujahnya.

“Jika penulis gagal, minta maaf. Bukan menyerang begitu emosi. Amat malang dapat timbalan menteri pendidikan yang sangat beremosi tanpa memberi peluang kepada penulis membela diri.

“UTM pula terlalu bacul sehingga buat kenyataan akhbar dalam bahasa Inggeris lagi. Malang sekali apabila ilmuwan tidak berhujah atas dasar ilmu tetapi atas dasar takut hilang jawatan dan periuk nasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.