Ibu dua beradik maut di lebuh raya pendam rindu

Ibu dua beradik maut di lebuh raya pendam rindu

Kematian dua beradik di lebuh raya itu menjadi viral susulan ambulans mengambil masa tiga jam untuk tiba akibat pemandu guna laluan kecemasan.

motorist

MELAKA:
“Makcik sangat rindu dengan anak-anak. Puasa tahun ini sangat berbeza tanpa mereka,” kata Patimah Md Kayos, 50, ibu kepada dua beradik mangsa kemalangan di KM228 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara yang meninggal dunia pada 22 Mei lepas selepas lewat dikejarkan ke Hospital Seremban.

Ibu tunggal kepada 14 anak itu tidak menyangka anak keduanya Mohamad Ma’arof Shadik Mohamed, 38 dan ke-11, Alam Iqbal, 20, pergi meninggalkannya setelah usaha menyelamatkan mereka yang cedera parah tidak berjaya.

“Makcik masih terkenang telatah mereka. Mereka selalunya akan berbuka puasa di Melaka pada hari pertama dan kedua, selalunya lauk kegemaran mereka udang sambal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Beliau berkata mereka tidak menunjukkan perubahan ketara tetapi sebelum balik, mereka bertiga (dua mangsa dan anak ke-9 Muhammad Najib, 24) sempat berselfie di atas motosikal.

Pada hari kejadian, kedua-dua mangsa bersama Najib menaiki dua motosikal berasingan dari rumah mereka di Kilometer 11.2 Kampung Solok Gaung Ayer Molek di sini untuk pulang Kuala Lumpur.

Patimah berkata perbualannya bersama Alam Iqbal pada hari itu agak pelik kerana anaknya yang menuntut di Universiti Putra Malaysia itu menolak ketika diberikan duit RM250 sebagai duit belanjanya.

“Makcik hulur Alam (Iqbal) RM250 tapi ditolaknya kerana katanya tidak perlukannya namun selepas makcik kata duit tu guna untuk beli makan dan keperluan lain, akhirnya Alam ambil RM200. Dia juga bersalaman dengan makcik dua kali dan memeluk erat sehingga makcik rasa kelainannya,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti 79 kenderaan menggunakan lorong kecemasan sehingga menjadi antara punca ambulans lewat tiba untuk memberi bantuan kecemasan di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar lebuh raya itu di Simpang Ampat, Alor Gajah.

Mengimbau kembali, Patimah berkata dia bergegas ke Hospital Seremban sebaik dimaklumkan kejadian menimpa anaknya itu namun sebaik tiba di hospital kira-kira 7.30 malam, beliau dimaklumkan keadaan mereka kritikal.

Patimah berkata dia kemudiannya diminta menandatangani surat kebenaran untuk pembedahan Alam Iqbal namun selepas setengah jam doktor memaklumkannya keadaannya anaknya sangat kritikal dan tidak dapat diselamatkan.

“Lagi menyedihkan apabila makcik tanya keadaan anak lagi satu tetapi doktor kata tidak dapat juga diselamatkan kerana jantungnya tidak memberi sebarang respons ketika rawatan dijalankan,” katanya.

Katanya, insiden itu perlu menjadi iktibar kepada semua pemandu di negara ini agar tidak menggunakan lorong kecemasan sewenang-wenangnya sehingga melewatkan atau mendatangkan masalah kepada usaha menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.