Menurut laporan sebuah syarikat korporat yang terkenal di China, UBS, warga kerja di Hong Kong meluangkan 50 jam seminggu untuk bekerja sekali gus menjadi orang paling letih di rantau Asia.
Kajian yang melibatkan 71 bandar raya dan 15 jenis kerjaya, juga merumuskan warga kerja di rantau Asia sebagai paling rajin dan terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki dengan waktu yang lebih lama, petik laporan Sinar Harian Online.
Tujuh daripada 10 bandar raya di dunia yang menggunakan masa kerja paling lama adalah daripada negara Asia sebaliknya warga kerja di Eropah pula paling sedikit meluangkan waktu bekerja.
“Daripada senarai 10 bandar raya dengan jumlah masa kerja yang paling sedikit, semuanya datang dari negara-negara Eropah,” kata laporan itu yang juga mengesahkan purata jumlah tempoh waktu kerja bagi kesemua 71 negara itu ialah 36.23 jam seminggu.
Dalam turutan ‘paling letih’, Hong Kong diikuti Bombay, Mexico, New Delhi dan Bangkok.
Dalam pada itu, bandar raya paling selesa bekerja pula ialah Paris dan Lyon, kedua-duanya dari Perancis dengan jumlah masa kerjanya ialah 30.84 jam seminggu dan 31.36 jam seminggu.
Malah turut dilaporkan warga kerja di Paris hanya bekerja lima hari seminggu dengan purata masa kerja sehari, 6.17 jam!
Ia diikuti Moscow (31.67 jam seminggu), keempat, Helsinki (31.90 jam seminggu) dan kelima, Vienna (32.26 jam seminggu).
