
“Yang rugi besar ialah PAS. Biarpun PAS parti lama dan teruji dalam politik negara, tindakannya bertanding sendirian tidak membawa keuntungan politik kepadanya dalam dua PRK ini,” tulis pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dalam Facebook.
Agus turut meramalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) kerana kekuatannya menjalinkan kerjasama politik antara kaum.
“Dan dalam dua PRK ini, BN akan menang lagi dengan imej ini. AMANAH di tempat kedua. Biarpun AMANAH parti baru, tetapi kerjasamanya dalam Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP memberinya kekuatan untuk menyaingi BN, biarpun masih tertinggal 8-10 mata peratus di belakang.”
Agus berkata dua PRK itu menunjukkan negara masih lagi jauh dari mengamalkan politik matang.
“Mengapa? Kempen masih bersifat perkauman, masih bersifat mencaci peribadi, masih bersifat menganggu ceramah parti lawan dan masih tidak adil biarpun bebas,” katanya.
PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan 18 Jun ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Budiman Mohd Zuhdi, Azhar Abdul Shukur (AMANAH) dan Dr Abdul Rani Osman (PAS).
Di Kuala Kangsar, pertandingan empat penjuru melibatkan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (AMANAH) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.