Pegawai Khas Isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, isu kemewahan Najib dan Rosmah sering kali dimainkan pembangkang tiap kali menjelang pilihanraya, sehingga terpaksa memutar cerita sama bagi menambahkan kebencian rakyat terhadap pemimpin negara.
Bagaimanapun, beliau akui tidak hairan dengan perlakuan pembangkang kerana sudah menjadi kewajipan dan kepakaran mereka untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri.
“NGO-NGO upahan pembangkang dengan fitnah terhadap Perdana Menteri dan keluarga seperti ini muncul bermusim dan fitnah ini adalah sempena PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar).
“Itulah kerja dan kepakaran mereka (pembangkang),” katanya kepada FMT ketika mengulas tentang isu pengedaran risalah fitnah yang menceritakan kemewahan keluarga Perdana Menteri itu.
Risalah yang mendedahkan kisah perkahwinan dan perbelanjaan melampau Rosmah selain sejarah kehidupan Najib dan isteri serta isteri pertamanya Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar atau dikenali sebagai Ku Yie digunakan sebagai bahan berkempen dipercayai oleh NGO pembangkang.
Risalah setebal lapan muka surat itu diedar sewaktu ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di Dataran Tonggak, Sungai Besar yang dihadiri kira-kira 200 orang malam tadi.