Kerana potong motosikal, Nizam ditembak

Kerana potong motosikal, Nizam ditembak

Mangsa rakyat Malaysia itu ditembak di Hatyai kerana suspek tidak suka dengan cara dia menunggang motosikal, kata polis.

Mohd Nizam Ahmad Basrah
HATYAI: Pembunuhan rakyat Malaysia, Mohd Nizam Ahmad Basrah pada awal pagi 16 Mei lepas di Hatyai dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap cara tunggangan motosikal mangsa pada hari kejadian.

Perkara itu didedahkan Penolong Ketua Polis Songkhla Kol Chaiwat Nittayavitmol yang berkata, suspek Warawut Muangmin, 25, tidak berpuas hati cara tunggangan motosikal oleh Nizam dan bertindak menembaknya.

“Motif suspek menembak mangsa adalah kerana motosikal mangsa secara tiba-tiba memotong motosikal dinaikinya bersama rakan, yang menyebabkannya rasa terkejut dan marah dengan kejadian itu bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, Warawut berasal dari Hatyai merupakan penjual alat binaan ditahan dalam sebuah van disewanya di Jalan Tak-Lampan ketika cuba melarikan diri daripada buruan pihak polis.

Pada 16 Mei lepas, Nizam yang berasal dari Pulau Pinang ditembak mati ketika sedang menunggang motosikal seorang diri ke sebuah hotel di Hatyai kira-kira 3.30 pagi.

Sejurus selepas ditahan, Warawut menurut Chaiwat dibawa ke Haytai untuk soal siasat.

Beliau berkata, dalam proses siasatan polis bertindak menemu bual beberapa saksi serta melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dapat menahan Warawut.

Chaiwat berkata, polis sedang memburu rakan Warawut yang menunggang motosikal bersamanya.

— BERNAMA

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.