
Ini kerana katanya, pewartaan Rang Undang-undang (RUU) MKN 2015 sebagai undang-undang adalah perkembangan berbahaya dan julung kali berlaku dalam sejarah perlembagaan negara.
Beliau turut mempersoalkan kenapa undang-undang baru drakonian itu perlu diluluskan secara tergesa-gesa sedangkan Majlis Raja-raja dan rakyat pelbagai lapisan turut berkongsi kebimbangan sama terhadap pewartaan RUU itu.
Presiden PKR itu berkata, BN bukan sahaja tidak menghormati raja-raja malah mereka mengabaikan peranan perlembagaan raja-raja.
“Peranan mereka amat penting khasnya dalam konteks negara kita, di mana BN telah lama mengabaikan kebebasan asasi dan perbezaan kecil dalam perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RUU MKN 2015 yang dibantah parti pembangkang ketika dibentangkan dalam Dewan Rakyat tahun lalu, menjadi undang-undang dengan sendirinya walaupun tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Ia diluluskan berdasarkan Fasal 4 (a) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu sesuatu RUU menjadi undang-undang 30 hari selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.