
TAIPING: Sebuah pondok tol di plaza tol Changkat Jering mengalami kerosakan sebanyak 45% akibat disambar api daripada sebuah kereta yang terbakar awal pagi tadi.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Taiping, Pegawai Kanan Bomba Ainol Shahariman Haron berkata, dalam kejadian jam 7.57 pagi itu, sebuah kereta jenis Suzuki Vitara tiba-tiba terbakar semasa berada di plaza tol berkenaan.
“Sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak membakar hampir 80% daripada kereta tersebut.
“Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada terus merebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu.
– BERNAMA