Pasukan siasatan dedah gambar ekzos peluru berpandu tembak jatuh MH17

Pasukan siasatan dedah gambar ekzos peluru berpandu tembak jatuh MH17

Gambar menunjukkan tiub venturi yang berfungsi sebagai ekzos peluru berpandu BUK yang dipercayai menembak jatuh pesawat Boeing itu pada 2014.

MH17-bullet

PETALING JAYA:
Pasukan penyiasatan bersama antarabangsa yang menyiasat nahas penerbangan Malaysia Airlines MH17 dua tahun lalu menerbitkan gambar peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Boeing itu, menurut beberapa laporan media pagi ini.

Ia menunjukkan apa yang dikenali sebagai tiub venturi yang terdapat di bawah peluru berpandu jenis BUK dan berfungsi sebagai bahagian yang mengeluarkan gas sama seperti ekzos kereta.

Bahagian itu dipercayai dijumpai di kawasan di mana pesawat itu terhempas di timur Ukraine dekat sempadan Rusia.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, sebahagian besar mereka warga Belanda.
Insiden itu berlaku selang beberapa bulan selepas kehilangan pesawat MH370.

Pasukan penyiasat MH17 dalam kenyataannya berkata mereka masih menunggu respon beberapa negara terlibat termasuk Rusia.

Pesawat MH17 terhempas di sebuah kawasan yang dikuasai pemberontak Ukraine yang disokong Moscow, dan beberapa negara barat menuduh pemberontak Ukraine melancarkan peluru berpandu buatan Rusia itu.

Pasukan penyiasat diwakili Belanda, Australia, Malaysia, Belgium dan Ukraine berkata hasil siasatan akan dibentangkan kepada mahkamah atau tribunal jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.