IMI menerusi satu kenyataan berkata, kajian yang dijalankan IMI di UK menunjukkan 96% pemandu wanita mahu melihat lebih ramai wanita dalam bengkel kereta.
Pengurus Kanan IMI Asia Tenggara, Matthew Stuart berkata, fenomena ini tidak unik di UK mahupun di setiap pelusuk dunia.
“Oleh sebab bilangan pemandu wanita semakin meningkat, syarikat automotif wajar memahami perkembangan ini dan mengambil pekerja dan menggunakan kaedah yang tepat untuk melibatkan diri secara lebih berkesan dengan pelanggan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Tekat Automotive Academy (juga dikenali sebagai Auto Terminal Training Sdn Bhd), Prasanna Vanugopal berkata, salah faham bahawa latihan juruteknik untuk lelaki semata-mata menyebabkan wujud ketidakseimbangan jantina pelajar di akademi itu.
“Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah nampak perubahan minda secara beransur-ansur dengan lebih ramai wanita muda menunjukkan minat dalam latihan automotif,” katanya.
Akademi ini mempunyai lebih 500 pelajar dan sejak 2005 sejumlah 787 calon memiliki kelayakan automotif antarabangsa IMI.
IMI menawarkan lebih 300 latihan teknikal dan bukan teknikal dengan akreditasi daripada 600 rakan latihan di lebih 13 negara seluruh dunia.
Di Malaysia, secara purata 1,500 calon dilatih setiap tahun di kolej komuniti, syarikat-syarikat automotif dan badan pendidikan.
– BERNAMA
