Nizar ‘penipu bersiri’

Nizar ‘penipu bersiri’

Zambry berkata, pembangkang telah kekeringan dan kehabisan modal, sebab itu mereka berbohong.

Zambry-Abdul_Mohammad-Nizar-Jamaluddin_600

KUALA KANGSAR:
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengecam tindakan Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwanya berterusan melempar tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan BN.

Menyifatkan Mohammad Nizar sebagai ‘penipu bersiri’, Zambry berkata, bekas menteri besar Perak itu dilihat tanpa henti memfitnah dan membangkitkan isu tertentu walaupun telah diperjelaskan kerajaan sebelum ini.

“Saya amati perangai dia tidak habis-habis buat serangan. Bayangkan bulan Ramadan pun dia nak menipu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera PRK Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohammad Nizar yang mengatakan Zambry memberi tanah kepada kroni tertentu dalam ceramah umum parti itu di Kampung Sayong Lembah, semalam.

Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial turut berkata: “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

Mengenai dakwaan kerajaan negeri memberi tanah seluas 45,324 hektar kepada pihak tertentu, Zambry berkata, perkara itu telahpun diperjelaskan sebelum ini termasuk pada sidang DUN Perak.

“Pembangkang ini telah kekeringan dan habis modal, sebab itu akan buat pembohongan,” katanya.

Zambry meminta pengundi di Parlimen Kuala Kangsar supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan parti pembangkang.

PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Ia bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 22,496 pengundi Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.